suria

Tak sia-sia rakam muka dekat dengan kamera, bantahan Syed Saddiq dapat perhatian... perdana menteri setuju tangguh pekeliling baharu!

Syed Saddiq memaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju menangguhkan pemansuhan elaun kritikal.

TIGA hari selepas menyuarakan bantahan terhadap pemansuhan elaun kritikal, hari ini Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil sekali lagi menerusi video di laman Twitter rasmi miliknya.

Masih membuat rakaman video dengan wajah terlalu dekat dengan dengan telefon bimbit yang bagaikan sudah menjadi 'trademark' dirinya, kali ini menteri muda itu membawa perkhabaran yang menggembirakan anak muda.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu kerja lebih masa, gaji kurang dari sepatutnya tapi elaun dipotong... Syed Saddiq pertahan doktor, nurse muda - “Saya bantah pekeliling baharu JPA”

Menurut Syed Saddiq, isu yang disuarakannya sudah dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya baru lepas berbincang dengan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan isu elaun kritikal dalam pekeliling baharu Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Alhamdulillah YAB perdana menteri telah bersetuju untuk menangguhkan pekeliling JPA yang baharu berkenaan elaun kritikal dan kabinet akan bersama membincangkan isu ini pada mesyuarat kabinet yang pertama pada bulan Januari yang akan datang,” katanya menerusi video tersebut, petang Jumaat.

Syed Saddiq memuat naik video di Twitter menyatakan isu elaun kritikal sudah dibincangkan bersama perdana menteri. 

Menteri muda itu turut menyatakan bahawa suara anak muda akan sentiasa menjadi keutamaannya.

“Suara anak muda adalah suara keramat. Mereka merupakan pewaris negara bangsa kita. Saya akan pastikan bahawa suara doktor, jururawat muda, dan anak-anak muda dalam sektor kerajaan tidak akan diabaikan dan dianaktirikan.

“InsyaAllah kita akan usahakan yang terbaik,” ujarnya lagi.

Reaksi pelbagai daripada netizen berhubung perkongsian terbaharu Syed Saddiq.

Perkongsian terbaharu itu sehingga kini meraih 2,300 kali retweet.

Ia bagaimanapun mengundang reaksi yang pelbagai daripada netizen.

At least (setidak-tidaknya) dia usaha juga dari tak buat apa-apa. Bila tak buat kondem, buat something (sesuatu) pun kondem. Aku bukan sokong mana-mana parti apa pun. Cuma kalau mereka buat something (sesuatu) untuk rakyat, itu yang betul,” tulis seorang pelayar.

“Acah nak jadi hero rakyat,” komen yang lain pula.

“Kenapa anda semua nak salahkan dia sebab cara dia rakam dekat. Dia buat begitu supaya suara dia lagi jelas untuk didengar. Tak payah bitter sana. Kalau tak nak tengok muka dia, dengar saja isi kandungan video tu,” komen pelayar lain pula.

Saya akan pastikan bahawa suara doktor, jururawat muda, dan anak-anak muda dalam sektor kerajaan tidak akan diabaikan dan dianaktirikan.

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN

MENTERI BELIA DAN SUKAN

Beberapa hari lalu, Syed Saddiq menerusi satu rakaman video meluahkan rasa tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk memansuhkan beberapa jenis elaun termasuk Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) mulai Januari 2020.

Menteri muda itu menyifatkan pemansuhan elaun kritikal amat tidak wajar khususnya bagi para doktor dan jururawat muda. 

Artikel Sebelum

Artikel Lain