suria

Remaja Malaysia maut di Australia tak pernah main ‘skateboard’ – “Shabby anak yang sangat baik, tak pernah sekali pun dia meninggi suara…”

Gambar Mohammad Farhan Fudhail Mohammad Farid, 16, (kanan) bersama adiknya Farra Nazatul Fiqa, 15, yang ditunjukkan oleh datuk saudara Azahari Hassan, 47, ketika ditemui di rumahnya di Kubang Buaya, Kuantan. Foto Bernama

MOHAMMAD Farhan Fudhail Mohammad Farid yang maut bermain papan selaju di Townsville, Queensland, Australia pada Sabtu, difahamkan tidak pernah bermain sukan itu sebelum ini.

Datuk saudaranya Azahari Hassan, 47, berkata Mohammad Farhan Fudhail, 16, anak sulung daripada dua beradik yang mesra dipanggil 'Shabby' itu difahamkan baru menerima papan selaju itu sebagai hadiah beberapa hari lalu.

Arwah dan adiknya Farranazatul Fiqa, 15, menetap bersama nenek mereka Mariati Hassan, 53, dan belajar di sebuah sekolah antarabangsa di sini, manakala ibu mereka Furhzanatul Natasha Mohd Sazali, 30-an, bekerja sebagai jururawat di Australia.

"Arwah bersama adik dan beberapa ahli keluarga berlepas ke Australia awal bulan ini untuk berjumpa Furhzanatul Natasha dan dijadual pulang ke sini pada 12 Jan depan, sehari sebelum sesi persekolahan mereka bermula.

"Memang kebiasaan arwah dan adiknya ke sana untuk berjumpa ibu mereka pada cuti sekolah...malah mereka juga pernah bersekolah di sana, menyebabkan mereka mempunyai ramai kawan di sana," katanya semasa ditemui pemberita di Kuantan, Ahad.

Media pada Ahad melaporkan Mohammad Farhan Fudhail maut selepas terlanggar tiang semasa bermain papan selaju dan difahamkan mangsa cuba memperlahankan papan selajunya semasa meluncur menuruni bukit sebelum kejadian.

Azahari juga menyifatkan kehilangan Shabby sebagai kehilangan berganda buat keluarga tersebut kerana mereka baru sahaja kehilangan datuk, Mohd Arif Abdullah @ Russell Machen, 63, (suami Mariati) semasa bercuti di Bali, Indonesia pada November lalu.

Azahari sugul ketika membalas pesanan ringkas dalam temubual di rumahnya di Kubang Buaya di Kuantan, mengenai anak saudaranya Mohammad Farhan Fudhail. Foto Bernama

Beliau berkata, Furhzanatul Natasha yang sudah lebih 10 tahun menetap di negara kanggaru itu juga, masih terlalu bersedih dengan kehilangan arwah, menyebabkan keluarga di sini enggan mengganggunya dan lebih banyak berkomunikasi dengan ahli keluarga lain di sana.

"Saya baru habis jalani rawatan dialisis semasa menerima berita pemergian Shabby...tak tahu hendak kata apa. Saya teringat kali terakhir kami bertemu sebelum mereka berlepas ke Australia, arwah begitu ceria semasa itu.

"Shabby anak yang sangat baik dan ringan tulang. Tak pernah sekali pun dia meninggi suara kepada datuk dan neneknya. Arwah lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan hanya sesekali keluar berjoging," katanya.

Azahari berkata beliau dimaklumkan jenazah akan dibawa pulang untuk dikebumikan berhampiran datuknya di Tanah Perkuburan Islam Setali di sini, namun setakat ini mereka masih belum menerima maklumat bila jenazah akan dibawa pulang.

Sementara itu, Farranazatul Fiqa menerusi laman sosial Instagramnya, farranazatul_fiqa berkongsi beberapa gambar bersama arwah dan sajak, menunjukkan kesedihan atas kehilangan abangnya.

Sajak yang ditulis dalam Bahasa Inggeris itu juga menyentuh kehilangan dua insan rapat dengan dirinya pergi terlalu dekat dan betapa pemergian Shabby yang disifatkan sangat disenangi semua, berlaku terlalu drastik.

Antara bait sajak itu berbunyi: "I honestly have no idea how I'm gonna face the rest of my life without you. What happened to growing up together Living next door to me so you could see me everyday”.

"What happened to you wanting to be a fun uncle to my kids what happened to you wanting to take care of your little sister”. - Bernama

Artikel Lain