suria

PRK Kimanis: Keputusan tak rasmi, BN menang dengan majoriti 2,029 undi

Mohamad Alamin membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Our Lady of Fatima, Kimanis pada Sabtu. foto ZULAZHAR SHEBLEE/THE STAR

CALON Barisan Nasional, Datuk Mohamad Alamin memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kimanis berdasarkan keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menerusi keputusan diperolehi di 70 peti undi yang selesai dikira, Mohamad memperolehi 12,706 undi, manakala calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang mendapat 10,677 undi.

Mohamad menewaskan Karim dengan majoriti 2,029 undi.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut dengan seramai 29,664 pemilih layak mengundi termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada di luar negara.

Majoriti 2,029 undi yang diperoleh BN kali ini adalah jauh lebih besar berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketika itu, calon BN, Datuk Seri Anifah Aman, memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar, meraih 11,942 undi manakala Karim yang turut bertanding mewakili WARISAN mendapat 11,786 undi. Calon Harapan Rakyat, Jaafar Ismail, sekadar meraih 1,300 undi.

Anifah bagaimanapun mengumumkan keluar Umno tidak lama selepas itu dan kekal di Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen Bebas.

BN, Warisan, PRK Kimanis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain