suria

Ku Nan cedera di lutut selepas jatuh dari kandang saksi, prosiding kes rasuah RM2 juta ditangguh 18 Februari

Prosiding kes rasuah membabitkan Ku Nan ditangguh selepas menteri itu mengalami kecederaan di lutut kanan selepas jatuh dari kandang saksi pada Jumaat lalu. Foto: The Star

BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengalami kecederaan di lutut kanan selepas jatuh dari kandang saksi pada Jumaat lalu, sekaligus menyebabkan perbicaraan bela diri kes rasuah pada Isnin, ditangguhkan.

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, terjatuh ketika keluar dari kandang saksi sejurus selesai memberi keterangan bela diri, dalam prosiding kes rasuah berjumlah RM2 juta.

Susulan kecederaan itu, dia diberi cuti sakit selama enam hari mulai 17 Januari lalu dan perbicaraan itu ditangguh sehingga 18 Februari depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rosmah, Ku Nan akan didakwa di mahkamah sama

ARTIKEL BERKAITAN: Ku Nan tiada kuasa pecat sesiapa - Daim

Datuk Tan Hock Chuan, peguam yang mewakili Tengku Adnan berkata, anak guamnya mengalami kecederaan pada lutut kanan dan hasil pemeriksaan melalui CT Scan (Computed Tomography Scan) mendapati bekas menteri itu tidak mengalami kecederaan yang serius.

"Pihak kami memohon maaf di atas kesulitan dan meminta prosiding perbicaraan diatngguhkan," katanya ketika memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan pada Isnin.

Keterangan secara bersumpah di kandang saksi membabitkan Tengku Adnan sepatutnya disambung Isnin dan Selasa selepas Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu memerintahkannya membela diri atas pertuduhan menerima suapan RM2 juta daripada Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim tidak membantah penangguhan perbicaraan kes itu.Mahkamah turut menetapkan tarikh baharu iaitu 18 hingga 20 Februari, 4 dan 5 Mac serta 25 hingga 27 Mac ini untuk perbicaraan.

Pada 23 Januari tahun lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan atas tuduhan berkenaan.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, pada 14 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - SINAR HARIAN

Ku Nan, rasuah, prosiding, lutut

Artikel Lain