suria

Wah! Warung tawar menu RM1... sering lihat kesusahan keluarga miskin cetus idea pemuda berniaga

Zulkifli (tengah) mengambil pesanan daripada pelanggan yang datang menjamu selera di warungnya ketika kunjungan Bernama di warung tersebut di Kampung Sungai Padang, baru-baru ini. Foto Bernama

KERAP melihat kesusahan dan kepayahan yang dialami oleh keluarga miskin mendorong seorang pemuda membuka sebuah warung menawarkan menu RM1 bagi membantu penduduk sekitar Kampung Sungai Padang dekat Arau, Perlis.

Zulkifli Ismail, 39, berkata, beliau mengambil keputusan membuka warung yang dinamakan sebagai ‘Selera D’ Bendang Senja’ awal bulan lepas berkonsepkan pemandangan sawah padi apabila kerap melihat keluarga besar terpaksa berbelanja lebih setiap kali keluarga makan di restoran atau kedai makan.

“Bila kita makan di kedai, kalau bawa seorang dua anak mungkin ibu bapa mampu membayar harga makanan tetapi jika jumlah ahli keluarga yang besar bukan semua orang mampu,” katanya kepada Bernama di Arau, baru-baru ini.

Katanya, sejak warungnya tular dalam laman sosial, pelanggan tidak putus-putus datang ke kedainya, malah ada pelanggan dari Perak sanggup datang ke Perlis semata-mata untuk merasai laksa utara yang menjadi menu paling laris.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima luar biasa, kurang daripada tiga jam semua makanan sudah habis dijual… saya buka warung pukul 11.00 pagi dan kira-kira pukul 1.30 petang dah boleh tutup kedai,” katanya.

Pembantu Warung RM1, Nooraleya Yazid, 29, memotong ayam untuk menyediakan menu Nasi Ayam. Foto Bernama

Setiap hari Zulkifli, yang dibantu oleh tiga pekerja akan memasak sebanyak lapan kilogram (Kg) beras pulut, 20kg beras, 20 bungkus laksa dan 20 ekor ayam.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata pelbagai menu yang ditawarkan pada harga RM1 iaitu nasi lemak, bihun sup, mee sup, kueyteow sup, maggi sup, nasi goreng termasuk menu paling laris iaitu pulut ayam, laksa utara, nasi ayam, dan nasi daging selain pelbagai jenis minuman juga pada harga sama termasuk ais batu campur (ABC), cendol dan laicikang.

Ketika ditanya, apakah dengan menjual makanan pada harga RM1 memberikan keuntungan ketika harga barang yang tidak menentu ketika ini, Zulkifli berkata kesemua makanan ini dimasak sendiri olehnya dan orang yang berkunjung ke sini bukan hanya makan satu jenis hidangan, malah berkali-kali tambah pesanan.

Kelihatan orang ramai memenuhi "Warung RM1" sebaik sahaja ia dibuka pada pukul 11 pagi.

Sementara itu, seorang pelajar Tingkatan 5, Zaidi Putra Zakariah, 17, ketika ditemui berkata, dia sanggup menyimpan duit poket yang dibekal ibunya untuk ke sekolah semata-mata untuk makan di warung itu.

Dia berkata, meskipun harga yang ditawarkan RM1 untuk setiap jenis hidangan namun berpuas hati dengan makanan yang disediakan.

Seorang lagi pelanggan, Nurul Natasha Asmira Azhar, 16, berkata makanan yang dtawarkan di sini sangat sedap selain kuantiti yang banyak mengenyangkan perutnya.

Katanya, meskipun pertama kali datang ke sini, makanan di sini adalah berbaloi untuk dinikmati selain pemandangan indah sawah padi yang terbentang luas di sini. - Bernama

Artikel Lain