suria

Duta #StandTogether Chef Wan luangkan masa semai sikap baik hati dalam kalangan pelajar, beri sumbangan wang tunai

Chef Wan, Pengetua SMK Mulong Mohd Nazri Muhammad dan Ketua Pemasaran Digi Cawangan Pantai Timur Norsyazana Shafie bergambar bersama guru dan para pelajar, Khamis. -foto Samantha Chow/R.AGE

SELEBRITI serta chef terkenal tanah air Chef Wan pada Khamis meluangkan masa meraikan para pelajar serta memberi sumbangan wang tunai RM5,000 kepada SMK Mulong, Kota Bharu, Kelantan.

Chef Wan berkata sumbangan ini merupakan tanda penghargaan beliau kepada sekolah tersebut atas usaha mereka menyemai amalan baik dalam kalangan pelajar sempena kempen Minggu Baik Hati #StandTogether yang dianjurkan R.AGE dan SP Setia.

“Sifat ihsan dan prihatin yang ditunjukkan mereka mengajar saya apa itu kasih sayang.

“Oleh itu sumbangan kecil ini merupakan tanda terima kasih saya atas usaha para pelajar (menyebarkan amalan kebaikan) dan saya harap suatu hari nanti ia akan memberi makna yang lebih besar kepada mereka," kata Chef Wan, yang merupakan salah seorang duta selebriti #StandTogether.

Selain Chef Wan, duta #StandTogether 2019 yang lain seperti Lisa Surihani, Alif Satar, Ismail Izzani, Jinnyboy, Rabbit Mac, Nik Qistina dan ramai lagi bakal turun padang serta mengunjungi lebih banyak sekolah bagi membantu menghebahkan lagi kempen Minggu Baik Hati Kebangsaan tahun ini.

Chef Wan yang dikerumuni pelajar serta guru selepas selesai ucapannya berkata beliau berharap sumbangannya itu dapat sedikit sebanyak membantu pihak sekolah antaranya untuk menyediakan peralatan sukan. 

Kunjungan beliau semalam adalah bagi meraikan para pelajar SMK Mulong yang telah menyertai Bengkel Jelajah Baik Hati #StandTogether 2019.

Bengkel ini merupakan salah satu aktiviti yang diadakan sempena sambutan Minggu Baik Hati Kebangsaan yang disambut setiap minggu pertama bulan April.

“Kempen #StandTogether ini merupakan satu platform terbaik untuk mengingatkan semua orang bahawa darah yang mengalir di sebalik kulit setiap orang adalah sama, dan apa yang mencerminkan keperibadian kita adalah kata-kata serta perbuatan,” kata Chef Wan.

Beliau turut menasihati para pelajar untuk merapatkan jurang dengan mengamalkan sikap penyayang serta menghindari budaya membenci antara satu sama lain.

SMK Mulong terpilih di antara lebih 600 sekolah berikutan kesungguhan mereka dalam menyebarkan mesej yang diterapkan melalui bengkel yang disertai mereka sehingga ke sekolah-sekolah berhampiran.

Ini termasuk cara-cara menangani pembuli dengan mengambil pendekatan yang lebih positif seperti menekankan kepentingan sikap baik hati dalam kalangan masyarakat. 

"Matlamat kami adalah untuk memberitahu mereka apa kesan buli dalam talian, dan ini termasuk juga kesan kepada kesihatan mental mangsa," ujar Rosman Syakir Rosham, 17, salah seorang daripada dua orang pelajar SMK Mulong yang menyertai bengkel terbabit. 

Jelajah yang diadakan oleh Digi (antara rakan kempen #StandTogether) ini merupakan salah satu aktiviti yang direncana bagi tujuan meraikan Minggu Baik Hati Kebangsaan.

Pelajar serta guru yang menghadiri bengkel berkenaan akan dilantik sebagai duta #StandTogether dan mereka perlu menyebarkan mesej yang dipelajari dengan seramai yang mungkin. 

Lebih kurang 3,000 orang pelajar "direkrut" untuk menjadi duta #StandTogether melalui siri jelajah ke seluruh negara yang diadakan tahun lepas.

Kempen Minggu Baik Hati Kebangsaan #Standtogether 2020 yang dijangka bermula bulan Februari ini diadakan bertujuan menanam sikap baik hati dalam kalangan pelajar di sekolah. 

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen #StandTogether, layari www.standtogether.my

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain