SUBJEK Matematik dan Sains akan diajar semula dalam bahasa Inggeris, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Pemangku Menteri Pendidikan itu berkata penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan dalam bahasa itu dalam sistem pendidikan di negara ini perlu digalakkan. "Amat penting untuk kita memberikan masa untuk bahasa Inggeris, khususnya dalam pembelajaran Sains dan Matematik. "Georgrafi dan Sejarah boleh diajar dalam mana-mana bahasa tetapi Matematik dan Sains bukan bidang pengetahuan asli (kepada kita). Ia berasal dari luar negara. "Dan kebanyakannya datang kepada kita dalam bahasa Inggeris, maka kita akan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik," katanya. Beliau berkata demikian ketika mesyuarat khas dengan pegawai pengurusan Kementerian Pendidikan pada Khamis. Satu video mengenai perkara itu kemudian dimuatnaik di media sosial. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (atau lebih dikenali dengan singkatan PPSMI) diperkenalkan dalam fasa, bermula dengan tahun Satu, pelajar Tingkatan 1 dan 6 Rendah pada 2003 di bawah kepimpinan pertama Dr Mahathir sebagai perdana Menteri. Namun ia dimansuhkan pada 2013. Dr Mahathir berkata negara dan rakyat mahu melihat pembaharuan dalam sistem pendidikan. - The Star