POLIS Johor menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes kekecohan pada satu program Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang diadakan secara tertutup di Ulu Tiram dekat Johor Bahru, Jumaat lepas. Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata individu itu ditahan lewat petang Sabtu di Johor Bahru. Perkembangan itu, katanya, menjadikan jumlah suspek yang ditangkap setakat ini adalah seramai tiga orang termasuk dua individu yang telah diberkas pada Jumaat malam. ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq terpaksa lompat pagar selamat diri, dakwa diserang lebih 200 individu berlagak gengster “Ketiga-tiga mereka ini berumur lingkungan 30-an dan perintah reman terhadap mereka akan dipohon daripada mahkamah hari ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada Ahad. Mohd Kamarudin berkata siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kesemua suspek mempunyai kaitan dengan parti-parti politik “Kita sedang mengenal pasti latar belakang mereka dan parti politik mereka sebelum ini dan yang sekarang,” katanya mengulas perkembangan terkini kes berkenaan. Beliau berkata semua masyarakat harus menghormati undang-undang dan tidak bertindak di luar batasan dalam sesuatu perkara. “Saya ingat statement (kenyataan) daripada Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) mengenai perkara ini jelas supaya semua orang menghormati undang-undang, tidak ada sesiapa pun berada di luar batas undang-undang,” katanya. Semalam, Abdul Hamid mengingatkan orang ramai supaya tidak mempolitikkan insiden itu dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi atau media sosial bagi mengelakkan ketidaktenteraman awam dalam negara. Pada Jumaat lepas, kira-kira 200 individu didakwa mencetuskan kekecohan dengan mengeluarkan kata-kata kesat, lucah dan ugutan kepada Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ketika satu program tertutup bersama ARMADA Johor. - BERNAMA