suria

Malaysia dapat pujian wakil WHO dalam menangani koronavirus

Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru memuji kerajaan negara ini yang cemerlang dalam menangani wabak koronavirus. Foto: Bernama

TINDAKAN pihak berkuasa Malaysia dalam mengurus dan membendung penularan jangkitan novel Koronavirus 2019 (2019-nCoV) mendapat pujian pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru berkata kerajaan negara ini cemerlang dalam melakukan siasatan kesnya selain telus berkongsi perkembangan terkini bukan hanya kepada WHO tetapi juga kepada orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri sahkan kejadian di KLCC, warga Kanada disyaki koronavirus dibawa ke HKL

ARTIKEL BERKAITAN: Dua rakyat Malaysia dibawa pulang dari Wuhan positif koronavirus

“Kami (WHO dan orang ramai) boleh melihat semua maklumat, dan maklumat itu dikeluarkan dengan pantas di media sosial serta laman sesawang kementerian kesihatan, jadi saya rasa mereka telah melakukannya dengan baik sekali.

“WHO juga sentiasa berhubung dan berkongsi maklumat (dengan pihak berkuasa Malaysia), seperti garis panduan terkini... mereka meminta (garis panduan dalam menangani koronavirus) dan menggunakannya. (Secara keseluruhan) mereka begitu bersedia, berani dan rajin,” katanya kepada Bernama selepas muncul dalam program Bernama TV.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad pada Rabu mengesahkan dua kes baharu koronavirus daripada rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari bandar Wuhan di China yang teruk dilanda wabak koronavirus.

Pengumuman terkini itu menjadikan kes terkumpul koronavirus di Malaysia ialah 12.Sementara itu, Dr Lo menasihati rakyat Malaysia yang mengalami gejala penyakit pernafasan seperti batuk, bersin atau sesak nafas agar segera mendapatkan nasihat perubatan.

“(Orang ramai yang mempunyai gejala ini) juga perlu mendedahkan sejarah perjalanan mereka bagi membolehkan pihak berkuasa perubatan menentukan sama ada anda berisiko menerusi satu ujian diagnostik.

“Tetapi saya rasa apa yang lebih penting adalah untuk mengingatkan semua orang bahawa mereka boleh melakukan sesuatu untuk mencegah jangkitan virus ini seperti mencuci tangan dan memakai topeng muka,” katanya. - BERNAMA

WHO, Malaysia, koronavirus

Artikel Lain