suria

Kes ke-18 positif koronavirus: 22 kontak rapat dikesan babit 3 ahli keluarga, 19 anggota kesihatan

Penumpang yang tiba di lapangan terbang di negara ini perlu melalui proses saringan untuk mengelakkan penularan wabak koronavirus 2019-nCoV. Gamabar sekadar hiasan. Foto: Bernama

SUSULAN kes terbaharu melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun yang disahkan positif jangkitan koronavirus 2019-nCoV pada Ahad, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata seramai 22 kontak rapat telah dikesan.

Menurut Dzulkefly, daripada jumlah itu, seramai tiga terdiri daripada ahli keluarga pesakit dan baki 19 lagi merupakan anggota kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda tempatan bekerja di China, individu terbaharu positif koronavirus

ARTIKEL BERKAITAN: Heboh air lemon, air kelapa dan kangkung mampu rawat koronavirus, ini respons Dr Amalina yang perlu diberi perhatian!

“Tiga kontak yang hampir itu adalah ibu, adik dan sepupu. Ketiga-tiga ini diambil sampel untuk kajian dan pengesahan. Selain itu adalah 19 anggota kesihatan kita. Kita dalam proses untuk mengambil sampel mereka,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya pada Isnin.

Tambah Dzulkefly, aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan untuk mengenal pasti kontak-kontak rapat yang lain.

Jelasnya lagi, aktiviti pengesanan kontak rapat adalah aktiviti pencegahan dan kawalan yang dijalankan bagi memastikan penularan penyakit berjangkit dapat dibendung.

Katanya, ia terdiri daripada mereka yang mempunyai kontak rapat dalam lingkungan satu meter dengan kes positif 2019-nCoV termasuk anggota kesihatan yang merawat kes tanpa memakai Personal Protective Equipment (PPE) yang disarankan dan tinggal dalam satu rumah.

Terdahulu, Dzulkefly mengesahkan seorang lelaki berusia 32 tahun adalah kes terbaharu melibatkan warga tempatan yang dilaporkan positif koronavirus.

Jelasnya, lelaki tersebut bekerja di Macau, China dan pulang ke Banting, Selangor pada 1 Februari.

“Beliau mendapatkan rawatan di klinik Telok Datok pada 4 Februari setelah berasa tidak sihat.

“Pada 7 Februari, dia dirujuk ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama. Sampel klinikal diambil pada 8 Februari untuk ujian pengesahan, dan beliau didapati positif  jangkitan 2019-nCoV.

“Kes ini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan dilaporkan stabil,” katanya.

Dr Dzulkefly turut mengulas mengenai dakwaan kononnya air lemon dan air kelapa berupaya menyembuhkan jangkitan koronavirus. 

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Dzulkefly turut ditanya oleh pemberita mengenai dakwaan bahawa jangkitan koronavirus boleh dirawat dengan pengambilan sayur kangkung dan air kelapa sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Kami telah menegaskan betapa setiap daripada kita perlu mengambil langkah-langkah kebersihan, seperti mencuci tangan dan menggunakan sanitizer, kalau batuk guna mask supaya orang tak berkangkit.

“Langkah-langkah semuanya telah kita tegaskan dan terangkan hampir setiap hari. Tapi  kalau ada yang nak mencadangkan yang lain itu, anda boleh dengar dan fikir sama ada nak ikut atau tidak.“Tapi kita mahu amalkan dalam KKM, iaitu evidence based medicine,” katanya lagi.

Baru-baru ini seorang Doktor Kesihatan Profesional (MBBS) yang juga usahawan, Dr Noordin Darus mendakwa sesiapa yang terkena yang terkena jangkitan koronavirus dinasihatkan untuk meminum air kelapa dan air lemon suam antara enam hingga tujuh gelas pada hari pertama.

Tambah doktor berkenaan, pada hari kedua, pengambilan air itu perlu diteruskan tapi dikurangkan masing-masing lima gelas serta perlu mengambil sayur hijau seperti kangkung.

Bagaimana, kenyataan doktor tersebut disanggah beberapa pengamal perubatan termasuk Dr Amalina Che Bakri.

Menurut Dr Amalina, ketika ini saintis dan doktor sedang masih membuat kajian untuk mengetahui secara terperinci tentang virus berbahaya itu dan sedang mencari penawar terbaik. 


Macau, China, koronavirus

Artikel Lain