BERMULA tengah malam ini, harga runcit petrol bagi RON97 dan RON95 naik sebanyak dua sen, manakala harga runcit bagi diesel pula naik enam sen. Ini menjadikan harga baharu bagi RON97 adalah RM2.36 seliter, manakala RON95 pula RM2.06 seliter sementara diesel RM2.14, berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 21 Februari. Dalam kenyataan pada Jumaat, Kementerian Kewangan memaklumkan berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol RON95 dan diesel bagi tempoh itu masing-masing sepatutnya RM2.06 dan RM2.14 seliter. ARTIKEL BERKAITAN: Harga RON95, RON97 dan diesel turun "Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.04 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.08 seliter, tetapi masih di bawah had harga yang ditetapkan iaitu RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel,” menurut kenyataan itu. Menurut kenyataan itu lagi, harga runcit bagi kedua-dua produk dinaikkan selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. “Namun apabila harga pasaran dunia naik dan demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi,” katanya. - BERNAMA