PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) tiba di mesyuarat yang dijangka membincangkan peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat malam. Isu itu menjadi perbualan sepanjang minggu dan mesyuarat ini menjadi tumpuan untuk melihat sama ada PH akan menetapkan tarikh Dr Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri atau sebaliknya. Isu lain termasuklah mengenai hal ekonomi turut akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden itu. Ia berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana dan dijangka bermula pada pukul 9 malam. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Azizah Wan Ismail dan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba pada pukul 8.20 malam. Dr Mahathir yang juga pengerusi PH tiba pada pukul 8.27 malam. Sekumpulan ahli Bersatu hadir dengan memegang kain rentang tertera "Kekal Tun M" sebagai tanda menyokong kepimpinan perdana menteri. Malah, mereka turut bersorak "hidup Tun" sewaktu ketibaan Dr Mahathir. -The Star.