YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah baginda akan melaksanakan tanggungjawabnya bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani perkembangan politik semasa negara. “Pertama sekali, biar saya laksanakan tanggungjawab… saya harap kita akan dapatkan penyelesaian yang terbaik… itu sahaja…,” titah baginda semasa melayan para petugas media yang menunggu di Pintu 2 Istana Negara pada Selasa. ARTIKEL BERKAITAN: Sejarah tercipta! Agong ‘interview personally’ 222 MP dalam masa 2 hari sebelum putuskan PM ke-8 Baginda seterusnya menyeru rakyat supaya bersabar dalam menghadapi perkembangan politik semasa negara. “Kita amat ambil berat… bersabarlah,” titah baginda. Pada Isnin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan apabila mengambil keputusan meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu, selepas menerima surat peletakan jawatan itu, dan baginda turut membatalkan pelantikan menteri-menteri berkuat kuasa semalam, atas nasihat Dr Mahathir. Sehubungan itu, tugas-tugas Anggota Pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) adalah terhenti pada tarikh yang sama. - BERNAMA.