TUN Dr Mahathir Mohamad bersetuju sekiranya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti dan dilantik menjadi perdana menteri kelapan. “Ada kemungkinan beliau dicalonkan (jadi PM). Jika semua pilih Muhyiddin, saya OK. “Jika beliau diberi majoriti di Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong melantik beliau, mengangkat sumpah dan semestinya dapat membentuk barisan kabinetnya," katanya pada sidang media, petang Khamis. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangannya terhadap Muhyiddin yang dinamakan sebagai calon perdana menteri yang seterusnya. Walaupun belum memutuskan mengenai gabungan kerajaan baharu, Dr Mahathir yang kini merupakan perdana menteri interim berkata, beliau tidak akan menerima Umno sebagai parti komponen. “Tapi saya boleh terima ahli yang tidak puas hati dengan Umno. “Tapi Muhyiddin lebih relaks mengenai perkara itu dan dapat menerima mereka (ahli Umno) secara menyeluruh," katanya. Menurut Dr Mahathir, beliau tidak akan menjadi perdana menteri seterusnya sekiranya tidak dinamakan sebagai calon. "Siapa pun yang menang, saya akan terima," katanya. Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, pertemuan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa bersama 221 ahli parlimen tidak mendapat kata putus calon perdana menteri yang menerima majoriti mutlak. "Sehubungan itu, Dewan Rakyat akan bersidang pada 2 Mac untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri seterusnya. "Jika masih gagal mendapat majoriti mutlak, Malaysia perlu melalui pilihan raya tergempar," katanya.