suria

“Saya tawarkan jiwa dan raga untuk negara, beri saya masa” - PM ke-8

PM Muhyiddin ketika memberikan ucapan menerusi siaran langsung pada Isnin malam.

TAN Sri Muhyiddin Yassin dengan setulus jiwa dan raganya meminta seluruh rakyat Malaysia supaya memberi peluang untuk beliau mengemudi pentadbiran negara selaku perdana menteri yang baharu.

Dalam ucapan sulungnya yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen negara, Muhyiddin berikrar untuk memanfaatkan 40 tahun pengalamannya di dalam politik dan kerajaan bagi menerajui kepimpinan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Terjawab sudah... Agong pilih Muhyiddin sebagai PM ke-8, angkat sumpah esok

ARTIKEL BERKAITAN: Selesai angkat sumpah, Muhyiddin kini secara rasmi PM ke-8

"Berilah peluang untuk saya memanfaatkan 40 tahun pengalaman saya dalam politik dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan.

"Saya tawarkan jiwa dan raga untuk negara. Berikan saya sedikit masa," demikian katanya.

Ujar Ahli Parlimen Pagoh itu, buat permulaan, beliau mahu membentuk sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.

“Saya berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau memahami denyut nadi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup.

FOKUS UTAMA

Malah ujar Presiden Bersatu itu lagi, selain isu kos sara hidup, kerajaan di bawah pimpinannya akan memberi penekanan terhadap aspek perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

"Dengan pengalaman selama enam tahun menjadi Menteri Pendidikan, saya berjanji akan berusaha untuk melonjakkan lagi kualiti pendidikan negara.

"Saya akan pastikan anak-anak kita mendapat taraf pendidikan yang setanding dengan negara-negara maju," ujarnya.

Beliau juga menambah, kerajaan di bawah pimpinannya akan turut akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.

"Marilah bersama-sama saya untuk bina semula negara kita dan kembalikan kegemilangannya.

"Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah. Baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, orang asal, atau apa jua kaum dan etnik, saya adalah Perdana Menteri saudara.

"Samada saudara adalah petani, saudara nelayan, saudara peniaga, saudara penjawat awam, saudara pekerja swasta, saya adalah Perdana Menteri saudara.

"Saya merayu agar saudara dan saudari memberikan sokongan padu kepada saya untuk memikul amanah dan tanggungjawab besar ini," ujarnya lagi. 


Muhyiddin, jiwa raga, Perdana Menteri

Artikel Lain