KESEMUA tujuh kes baharu positif koronavirus (Coid-19) mempunyai kontak rapat dengan pesakit ke-26.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, salah seorang daripada tujuh kes terbaharu itu adalah paramedik yang memberi rawatan kepada kes ke-26.
"Kes ke-34 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang berusia 40 tahun. Pesakit itu seorang paramedik di sebuah hospital dan telah memberi rawatan kepada kes ke-26.
"Dia tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. Dia disahkan positif Covid-19 pada 3 Mac dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata kes ke-30 dan 35 mempunyai sejarah perjalanan ke Australia baru-baru ini, manakala kes ke-33 mendapat virus itu ketika menghadiri mesyuarat di Kuching, Sarawak pada 16 Februari lalu.
Tambahnya lagi, pesakit ke-31 dan 32 juga tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.
Kesemua pesakit dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.
"KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 dari semasa ke semasa.
"Aktiviti pengesanan kontak rapat bagi kes ke-26 dan kes-kes baharu yang dilaporkan ini masih dijalankan dan orang ramai akan dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya.
"Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Covid-19 melalui laman sesawang KKM," katanya.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mendedahkan tujuh kes baharu positif Covid-19 direkodkan pada Selasa.
Perkara itu dimaklumkan petugas khas Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu taklimat bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.