Komentar oleh: ROZAID RAHMAN MEMANDANGKAN barisan kabinet kerajaan baru Malaysia masih belum dibentuk, seluruh negara tidak putus-putus membicarakan tentang siapakah yang akan dilantik ke jawatan Jemaah Menteri dan timbalan-timbalan menteri. Malah, setiap hari viral senarai barisan kabinet yang tidak disahkan. Yang lucunya, ramai yang mahu dan ingin mempercayainya. Ada yang bertanya betul kah senarai yang diedarkan ini walaupun sekali pandang, kita boleh tahu ia tidak benar. Media-media massa juga tidak ketinggalan membuat pelbagai bentuk ramalan - semuanya berasaskan 'sumber yang layak dipercayai'. Hakikatnya, hanya Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku perdana menteri sahaja yang tahu siapa yang berada di dalam senarai barisan kabinetnya termasuklah jawatan yang paling disebut ramai iaitu siapakah yang bakal mengisi kerusi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Semua ingin tahu siapakah individu bertuah yang bakal dilantik ke kerusi tersebut dan juga dari parti mana. Namun begitu, pada masa yang sama, tidak ramai yang tahu bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah satu jawatan yang tidak pun disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ya, jawatan itu tidak disebut walau pun sebaris dan tidak juga disenaraikan sebagai anggota Jemaah Menteri. Selain bergelar Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah juga memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dalam Bahagian IV, Bab 3 - Badan Eksekutif, Perlembagaan Persekutuan, di bawah tajuk; "Jemaah Menteri" Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyebut; 1. Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam menjalankan fungsinya. 2. Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri, seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu. b) Atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan Negara). Cuba perhatikan dengan teliti perkara-perkara yang disebut di bawah judul "Jemaah Menteri" itu. Ia hanya secara spesifik menyebut tentang "Jemaah Menteri" atau "Menteri-Menteri" dan jawatan "Perdana Menteri" sahaja tanpa sekali pun menyebut dalam mana-mana bahagian tentang perlunya dibentuk satu kerusi atau jawatan untuk "Timbalan Perdana Menteri". Sebaik sahaja selesai memperincikan tentang anggota Jemaah Menteri dan jawatan Perdana Menteri, Perkara 43(a) Perlembagaan Persekutuan terus memperkatakan pula tentang jawatan Timbalan-Timbalan Menteri. Semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri, jawatan Setiausaha Parlimen tidak lagi diisi. Di bawah tajuk "Timbalan-Timbalan Menteri" Perkara 43(a) menyebut; 1) Yang di-Pertuan Agong boleh atas nasihat Perdana Menteri melantik Timbalan-Timbalan Menteri daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan Negara). 2) Timbalan-Timbalan Menteri hendaklah membantu Menteri-Menteri pada menunaikan tugas-tugas dan fungsi-fungsi mereka, dan bagi maksud sedemikian hendaklah mempunyai segala kuasa Menteri. Dan sebaik sahaja peruntukkan mengenai pembentukan jawatan Timbalan Menteri disebut, Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 43(b) (1) memperkatakan pula tentang peruntukan untuk melantik Setiausaha-Setiausaha Parlimen. Ia secara spesifik menyebut, Perdana Menteri boleh melantik Setiausaha-Setiausaha Parlimen daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan Negara). Setiausaha-Setiausaha Parlimen ini disebut hendaklah membantu Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri pada menunaikan tugas-tugas dan fungsi-fungsi mereka, dan bagi maksud sedemikian hendaklah mempunyai segala kuasa Menteri dan Timbalan Menteri. Bagaimanapun sejak era Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pentadbiran negara, jawatan Setiausaha Parlimen tidak diisi lagi. Sebaliknya, setiap kementerian mengantikannya dengan jawatan "Pegawai Tugas-Tugas Khas" khusus untuk membantu menteri dalam urusan hal ehwal Parlimen. Selain itu, satu lagi jawatan yang disebut secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan ialah jawatan Setiausaha Politik. Ia termaktub di bawah Perkara 43(c) iaitu; 1) Perdana Menteri boleh melantik apa-apa bilangan orang yang difikirkannya patut untuk menjadi Setiausaha-Setiausaha Politik. 2) Seseorang yang dilantik sebagai Setiausaha Politik menurut kuasa Perkara ini (a) tidak semestinya seorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan Negara). Kesemua mereka sepertimana yang disebut di atas iaitu dari Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Politik pada masa yang sama dikenali dengan gelaran "Anggota Pentadbiran" iaitu mereka yang terlibat dalam membuat dan menentukan dasar-dasar kerajaan Malaysia. Semasa Mahathir (dua dari kanan) kembali sebagai Perdana Menteri ketujuh, beliau tidak menyandang apa-apa jawatan menteri. Jadi, memandangkan Perlembagaan Persekutuan tidak secara spesifik menyebut pada mana-mana bahagian pun tentang pelantikan mana-mana anggota Dewan Rakyat atau pun Dewan Negara untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, bagaimanakah jawatan ini wujud dan diwujudkan. Mengikut sejarah, ia dibentuk berdasarkan konvensyen - iaitu satu kerusi yang diwujudkan buat pertama kalinya oleh Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi membolehkan seorang lagi tokoh kanan yang bersama-sama menuntut kemerdekaan tanahair iaitu Tun Abdul Razak Hussein mengisinya dengan tujuan untuk membantu beliau (Perdana Menteri) melaksanakan tugas-tugas pentadbiran negara. Sejak itu, setiap Perdana Menteri meneruskan tradisi melantik seorang Timbalan Perdana Menteri sehinggalah ke hari ini. Perhatikan dan sila ambil maklum, oleh kerana ia adalah satu jawatan yang dibentuk secara konvensyen dan tidak disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan maka setiap Timbalan Perdana Menteri (sejak dari era Tun Razak sehinggalah ke penyandang jawatan terakhir - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) wajib memegang satu jawatan menteri. Dalam kes Dr Wan Azizah, beliau adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Sebelum Dr Wan Azizah, setiap penyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri juga turut menyandang satu jawatan menteri. Misalnya sebelum ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Ini adalah untuk menjustifikasikan kedudukan mereka di dalam anggota Jemaah Menteri. Bayangkan seandainya seorang Timbalan Perdana Menteri pada masa yang sama tidak menyandang apa-apa jawatan menteri, beliau bukan sahaja tidak mempunyai justifikasi untuk dibayar gaji malah tidak boleh menghadiri sebarang mesyuarat Jemaah Menteri kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak disebut di dalam mana-mana Bahagian, Bab atau Perkara di bawah Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan perkara ini terkecuali kepada Perdana Menteri. Sebab itulah ketika Tun Dr Mahathir Mohamad kembali sebagai Perdana Menteri ketujuh, beliau tidak menyandang apa-apa jawatan menteri kerana jawatannya sebagai Perdana Menteri sudah disebut di dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai anggota Jemaah Menteri. Sedangkan peruntukkan ini tidak wujud untuk seorang yang dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri. Muhyiddin menunjukkan pas Jabatan Perdana Menteri miliknya pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Perdana Menteri kelapan di Bangunan Perdana Putra pada 2 Mac lalu. Namun begitu, walaupun kerusi Timbalan Perdana Menteri hanya wujud atas dasar konvensyen dan bukan termaktub di bawah undang-undang dan juga Perlembagaan Persekutuan, ia tetap dianggap penting, besar dan berkuasa. Atas sebab itulah bersama-sama kerusi tersebut, datang juga gelaran tertentu misalnya "Yang Amat Berhormat" atau lebih kerap disebut "YAB". Hanya ada tiga kategori manusia sahaja di Malaysia yang diberi gelaran 'YAB" iaitu - Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar/Ketua Menteri. Sepertimana Perdana Menteri, Tinbalan Perdana Menteri turut mendapat keistimewaan iringan 'rider' dan kawalan keselamatan. Ia juga turut disediakan sebuah kediaman khas sepertimana Perdana Menteri. Dan yang lebih penting, seorang Timbalan Perdana Menteri adalah orang yang telah 'ditunjuk' sebagai bakal Perdana Menteri walaupun pada hakikatnya ramai juga yang berjaya menyandang jawatan tersebut tetapi gagal sampai ke puncak kuasa sebagai Perdana Menteri atas sebab-sebab tertentu. Contohnya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman (kerana meninggal dunia ketika bertugas); Tun Musa Hitam (kerana berkrisis dengan Dr Mahathir), Tun Ghafar Baba (kerana dicabar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim), Anwar Ibrahim (kerana berkrisis dengan Dr Mahathir), Tan Sri Muhyiddin Yassin (kerana dipecat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kerana Barisan Nasional tumpas dalam Pilihan Raya Umum ke-14) dan terkini ialah Dr Wan Azizah Wan Ismail (kerana Dr Mahathir meletakkan jawatan yang sekaligus menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang). Dan akhir sekali, sebagai nota kaki, sewaktu era Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, hanya Abdullah Ahmad Badawi sahaja timbalannnya yang berjaya sampai ke puncak sebagai Perdana Menteri. Lain-lain timbalannya - dari Musa Hitam, Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan yang terakhir Dr Wan Azizah, semuanya gagal.