SITUASI semasa penularan virus Covid-19 yang masih terkawal di negara ini tidak memerlukan solat Jumaat dihentikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Beliau berkata solat yang diwajibkan kepada lelaki Muslim itu hendaklah diteruskan dengan beberapa perubahan dilakukan, antaranya memendekkan khutbah Jumaat. "Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk mengambil air sembahyang di rumah manakala pengurusan masjid dan jemaah hendaklah menyediakan 'hand sanitizer' (cecair pembasmi kuman) dan penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan. "Mereka yang ada simptom Covid-19 bagaimanapun tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada agensi agama di bawah JPM di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Khamis. Hadir sama timbalannya Ahmad Marzuk Shaary. Zulkifli berkata solat Jumaat hanya tidak boleh dilakukan tetapi diganti dengan solat Zohor dalam keadaan wabak itu menjadi umum dan merebak secara tidak terkawal. Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata hal itu hanya boleh dilakukan selepas memenuhi beberapa syarat iaitu larangan berkenaan status wabak dikeluarkan oleh pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan. "Ia juga tertakluk kepada wabak itu sudah menunjukkan kesannya di tempat tersebut dan ramai individu yang telah disahkan positif Covid-19 dengan Kementerian Kesihatan telah menyemak dan memeriksa masjid atau surau Jumaat terlebih dahulu," katanya. Zulkifli berkata bagi mengelak kekeliruan, pihaknya akan mengeluarkan garis panduan mengenai hal itu dalam masa terdekat. Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor baru-baru ini dilaporkan berkata kerajaan wajib mengambil apa juga langkah untuk mencegah penyakit berjangkit daripada tersebar dan mengancam kesihatan serta nyawa rakyat termasuk tindakan menghentikan buat sementara solat berjemaah di masjid dan solat Jumaat. Dalam pada itu, Zulkifli berkata JPM telah menyediakan kertas kerja permasalahan berkaitan Covid-19 seperti solat Jumaat, bersalaman, kenduri kahwin dan urusan mandi jenazah. “Insya-Allah kita akan kemukakan dalam masa terdekat kepada Majlis Fatwa untuk diputuskan,” katanya. Terdahulu dalam amanatnya, Zulkifli mengajak seluruh warga JPM supaya bekerja bersamanya sebagai satu pasukan bagi melonjakkan institusi agama ke tahap tertinggi. Beliau berkata stigma orang agama atau agensi agama lemah dalam urusan tadbir urus perlu dihentikan dengan cara memberikan perkhidmatan paling baik kepada masyarakat. - BERNAMA