KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan agar semua program melibatkan perhimpunan ramai seperti aktiviti sukan dan kokurikulum pada bulan ini ditangguhkan bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19). Susulan itu semua warga KPM diingatkan agar mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) pengawalan penularan jangkitan wabak berbahaya itu yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM). "Warga KPM juga dinasihatkan agar menangguh perjalanan ke luar negara terutama ke wilayah atau bandar yang sedang mengalami wabak jangkitan Covid-19. "Penjagaan kesihatan diri yang baik juga perlu diamalkan semua pihak pada setiap masa dan sekiranya mengalami gelaja jangkitan diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan," demikian menurut kenyataan dikeluarkan KPM pada Jumaat. Dalam pada itu, KPM amat prihatin dengan penularan Covid-19 dan akan bekerjasama rapat dengan KKM dalam mendepani gejala ini. Pada Khamis, Ketua Pengarah KKM Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang ada simptom jangkitan itu dinasihatkan untuk tidak menghadiri program yang ramai orang termasuk aktiviti keagamaan. "Mereka yang ada simptom jangkian dinasihatkan untuk menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain," katanya. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada Rabu.