suria

“Tiada perintah ‘lockdown’ buat masa ini” – Menteri Kesihatan nafi khabar angin

Rakaman gambar dedahan panjang (long exposure) pemakaian topeng muka oleh orang ramai sebagai langkah pencegahan susulan penularan Covid-19. Foto Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan menafikan mesej yang tular dalam media sosial hari ini bahawa Malaysia akan dikenakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar (lockdown) pada Ahad ekoran penularan Covid-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, dalam sebuah hantaran menerusi akaun Facebook rasminya, berkata penyebaran infografik mengenai 'lockdown' di negara ini pada Isnin adalah palsu.

"Tiada sebarang perintah 'lockdown' buat masa ini. Mohon hentikan penyebaran khabar palsu seperti ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Meningkat mendadak! 190 kes baharu Covid-19, jumlah terkini di Malaysia 428 kes

Sejak petang Ahad, tular satu infografik yang dikongsi netizen melalui Facebook dan Whatsapp dengan tanda pagar #Malaysialockdown pada Isnin 16 Mac 2020, 8 hingga 10 pm.

Penyebaran mesej palsu sejak Ahad.

Infografik itu juga menyebut Covid-19 Hour dengan mengandungi beberapa larangan iaitu jangan keluar dari rumah, jangan keluar ke tempat awam seperti pasar raya dan restoran serta sembahyang dan berdoa.

Ia juga menyuruh rakyat Malaysia supaya berada di kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, dalam hantaran yang sama, Dr Adham menggesa rakyat Malaysia mematuhi nasihat kesihatan dan penjarakkan sosial satu meter yang diberikan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Kesihatan.

Sebanyak 190 kes baharu dilaporkan positif Covid-19 setakat 12 tengah Ahad menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes. - Bernama

Covid-19, lockdown

Artikel Lain