BEBERAPA pasar raya mengambil inisiatif dengan membuka operasi mereka setengah jam lebih awal bermula Rabu khusus bagi warga emas dan orang kurang upaya. Ia susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung penularan Covid-19, sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin malam. Mydin Mohamed Holdings Bhd dalam hantaran di laman Facebooknya berkata pasar raya besar itu akan dibuka bermula pukul 7.30 pagi dan lorong pembayaran khas akan disediakan bagi kumpulan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: PM umum Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah di seluruh negara ditutup hingga 31 Mac “Kakitangan juga akan bersiap sedia bagi membantu golongan istimewa ini,” kata pasar raya itu. Sementara itu, Jaya Grocer juga akan membuka operasinya setengah jam lebih awal setiap hari bagi pelanggan warga emas dan penjaga mereka bermula esok (Rabu) sehingga 31 Mac. “Kami memperkenalkan waktu operasi khas bermula dari pukul 9.30 pagi di semua cawangan bagi pelanggan warga emas dan penjaga mereka. “Inisiatif ini adalah untuk memastikan mereka yang memerlukan boleh membeli barangan keperluan harian mereka dalam persekitaran yang selamat tanpa sebarang kebimbangan,” kata pasar raya itu. -BERNAMA