suria

“Dia tak buat pemeriksaan kesihatan selepas pulang” - 3 jemaah tabligh ditahan termasuk seorang disyaki sertai himpunan di Masjid Sri Petaling

Petugas kesihatan bersedia bagi melakukan proses saringan kepada orang ramai. Gambar sekadar hiasan/Foto Bernama

SEORANG wanita dan tiga jemaah tabligh termasuk seorang yang disyaki menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini ditahan polis ketika cuba melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan, di Jalan Sultan Azlan Shah, dekat George Town, Jumaat.

Setelah ditahan kira-kira pukul 6.30 petang itu, kesemua mereka diiringi ke Klinik Kesihatan Bayan Baru untuk tapisan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A.A Anbalagan berkata, polis menahan sebuah kereta Proton Waja dinaiki tiga lelaki dan seorang wanita yang dalam keadaan mencurigakan.

Apabila diperiksa dan ada antara mereka cuba melarikan diri, anggota polis terpaksa menahan semua mereka yang berusia antara 27 hingga 56 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mereka tak nak masuk lif... terasa saya” - Tabligh jadi bualan ramai... pemuda simpan janggut, pakai kopiah faham social distancing

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya stres, sepatutnya doakan ayah cepat sembuh” – Anak bilal positif Covid-19 selepas sertai program tabligh kesal maklumat sulit bapa tersebar

"Pemeriksaan awal, seorang daripada tiga lelaki itu mengaku menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling dan dia tidak membuat pemeriksaan kesihatan selepas pulang dari perhimpunan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan seorang doktor sebuah klinik swasta yang enggan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan tetap mahu bersenam di Taman Bandaraya, di sini semalam walaupun penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengarahkannya beredar dari situ.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisoner Soffian Santong berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang Khamis itu, lelaki berusia 60-an itu bersenam di Taman Bandaraya tersebut dan tindakannya dikesan penguat kuasa MBPP yang membuat rondaan di kawasan tersebut sebelum menasihatkannya beredar dari situ.

"Namun, doktor itu enggan beredar malah memberi alasan mahu bersenam kerana menjaga kesihatan dan mendakwa Taman Bandaraya itu adalah lokasi awam untuk orang ramai beriadah jadi tiada halangan untuk dia berbuat demikian.

"Berikutan itu penguatkuasa MBPP membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut," katanya kepada Bernama. - Bernama

tabligh, Covid-19, saringan

Artikel Lain