suria

Covid-19: Rakyat Malaysia dari Iran selamat pulang ke tanah air

Pesawat AirAsia yang membawa pulang rakyat Malaysia dari Tehran, Iran tiba di KLIA, awal pagi Ahad. Foto Nadma

PESAWAT khas yang membawa rakyat Malaysia dari Tehran, Iran, satu daripada negara yang paling teruk dilanda wabak Covid-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, awal pagi Ahad.

Pesawat AirAsia disewa khusus untuk Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia itu tiba pada 6.35 pagi, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Laporan terdahulu menyatakan seramai 46 individu termasuk 10 kanak-kanak, yang telah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Tehran akan dibawa pulang dalam penerbangan khas yang berlepas dari Tehran, Sabtu malam.

Mereka yang dibawa pulang itu akan melalui proses tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) di KLIA, sama seperti dua misi HADR dari Wuhan, China pada Februari lepas. 

Pada Sabtu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pesawat AirAsia telah berlepas ke Tehran untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Iran hasil perbincangan peringkat tertinggi antara kerajaan-kerajaan negara terlibat dalam semangat kerjasama Asean. - Bernama

Artikel Lain