suria

“Berjaya atau tidak bergantung kepada kita semua...” - KKM sedia hadapi apa jua kemungkinan Covid-19

KKM berharap orang ramai mematuhi PKP agar rangkaian wabak Covid-19 dapat diputuskan sekaligus mengurangkan kes di negara ini.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) bersiap sedia untuk menghadapai sebarang kemungkinan sekiranya kes wabak Covid-19 tetap mencatatkan peningkatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir hujung bulan ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun pihaknya masih memberi keutamaan untuk mengelakkan perkara itu berlaku secara mendadak dan salah satu langkah adalah PKP yang dikuatkuasakan sejak minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Angka kes Covid-19 terus meningkat... 64 pesakit di ICU, 24 perlukan bantuan pernafasan

"Sebab itulah dengan menguatkuasakan PKP, kita harap ia dapat mengurangkan jangkitan dan perpindahan kepada individu lain... jadi ini akan mengurangkan jumlah pesakit yang dijangkiti.

"Setiap individu perlu ambil berat, duduk di rumah, sentiasa mencuci tangan, amalkan jarak yang selamat. Jika anda tidak keluar dan bercampur antara satu sama lain, jadi kita mampu putuskan rangkaian virus (Covid-19). Itu yang kita mahu," ujarnya dalam sidang media pada Selasa.

Menurut Dr Noor Hisham, sejauh mana langkah ini mampu mengurangkan kes Covid-19 adalah bergantung kepada sikap setiap individu di negara ini, dan bukannya terletak sepenuhnya di bawah tanggungjawab KKM kerana pelbagai langkah berjaga-jaga dan panduan telah dihebahkan kepada umum.

"Ia bergantung kepada kita. Saya kembalikan soalan kepada anda, jika ikut arahan KKM, tolong kerajaan dengan duduk di rumah (stay at home) untuk putuskan rangkaian, dan kita ada peluang kecil sahaja untuk virus dipindahkan.

"Jika kita tak ikut arahan, apapun yang dilakukan oleh KKM, virus akan terus ditularkan. Jadi kegagalan atau kejayaan tak bergantung kepada kementerian kesihatan tetapi setiap daripada anda," ujarnya lagi.

Justeru tambah Dr Noor Hisham, adalah penting untuk setiap orang mematuhi PKP kerana dengan cara itu, ia dapat memutuskan jaringan penularan Covid-19 dan mengurangkan peningkatan secara mendadak sejak pengesanan kes dari kluster tabligh.

"Kalau anda duduk di rumah, kita akan pecahkan rangkaian, kurangkan peak, kurangkan peningkatan mendadak dan seterusnya dapat meratakan graf... jadi itu bermakna kapasiti akan maintain di hospital.

"Sekarang ini ada 64 dalam ICU, dengan 27 pesakit menggunakan ventilator. Apa yg dibimbangkan, jika berlaku peningkatan mendadak, dan kapasiti pula terhad, kita terpaksa pilih pesakit mana yang patut diutamakan untuk guna ventilator.

"Kita harap kita tak sampai tahap itu," ujarnya lagi.

Sehingga Selasa, Malaysia mencatatkan 1,624 kes positif Covid-19.

Daripada jumlah itu seramai 64 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 27 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 15 kes kematian dicatatkan akibat jangkitan sehingga kini.

KKM, siap sedia, ventilator

Artikel Lain