suria

Dikuarantin positif Covid-19, ahli Parlimen faham erti kemanusiaan... sempat kemas bilik, tinggal nota untuk petugas - “Jangan ketawa tengok tulisan saya”

Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii mengesahkan dirinya sudah pulih dari Covid-19. Foto: Instagram KelvinYii

TUJUH hari dirawat di hospital kerana dijangkiti Covid-19, Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii mengesahkan dia kini sudah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

Menerusi posting di laman Instagram miliknya, Dr Kelvin berkata, hasil ujian ulangan yang dilakukan terhadapnya menunjukkan keputusan negatif Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: MP DAP Sarawak dimasukkan ke Hospital Sibu sebagai PUI

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak begitu berat bagi saya” - Tun M kuarantin di rumah, kontak rapat MP positif Covid-19

"Jabatan Kesihatan telah memaklumkan kepada saya bahawa dua ujian terakhir kembali negatif maka saya dibenarkan pulang ke rumah.

"Walaupun begitu keputusan ujian, saya akan terus mengamalkan pengasingan diri sebagai langkah berjaga-jaga tambahan dan terus mengikuti nasihat Jabatan Kesihatan sepanjang masa ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan dan dorongan sepanjang masa ini," tulisnya.

Dr Kelvin dirujuk dan dikuarantin di Hospital Umum Sarawak pada 17 Mac lalu.

Beliau dipercayai mendapat jangkitan wabak berkenaan daripada Ahli Parlimen Sarikei, Wong Bing Liu.

Salah satu posting Dr Kelvin yang dimuat naik di Instagram.

Dalam pada itu, Dr Kelvin turut menzahirkan setingg-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasihnya kepada petugas kesihatan yang berada di barisan hadapan yang mempertaruhkan nyawa mereka demi menyelamatkan nyawanya dan pesakit lain.

"Dari hari pertama, semua petugas kesihatan sangat-sangat membantu dan bersikap profesional.

"Dikuarantin di hospital, saya benar-benar berpeluang untuk melihat sendiri sikap kemanusiaan sebenar dipaparkan.

"Terutama apabila saya melihat doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang lain, termasuk tukang cuci yang bekerja keras untuk menjaga keselamatan kita, menjaga kita dan juga untuk melindungi masyarakat secara keseluruhannya," tulisnya.

Wakil rakyat DAP itu turut meninggalkan nota dengan tulisan tangan bertulis 'Terima Kasih' sebagai tanda penghargaannya kepada petugas kesihatan yang merawatnya, selain turut membantu membersihkan dan mengemas bilik yang menempatkannya sepanjang tempoh tujuh hari itu.

"Walaupun mereka masih perlu membasmi bilik, tetapi saya ingin memastikan sekurang-kurangnya saya dapat membantu mengurangkan beban dan kerja mereka untuk menunjukkan penghargaan yang tulus kepada mereka semua.

"Saya juga meninggalkan nota... jangan ketawa tengok tulisan tangan saya," tulisnya lagi.

Kuching, MP, Ahli Parlimen, Covid-19, negatif

Artikel Lain