BANK tempatan menawarkan penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bermula 1 April ini. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan juga boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka. Menurutnya, fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April ini sehingga 31 Disember nanti. "Sektor korporat boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka bagi membolehkan syarikat-syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing. "Peruntukan melibatkan jumlah nilai RM100 bilion bagi kesemua langkah penangguhan bayaran balik pinjaman, penyusunan baki kad kredit dan penstrukturan semula pinjaman perniagaan merupakan satu jumlah yang bermakna. "Saya berterima kasih di atas keprihatinan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta industri perbankan Malaysia,"katanya dalam satu kenyataan hari ini. Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, kerajaan juga sedang mengkaji pelbagai cara untuk mengurangkan beban rakyat. "Satu lagi pelan rangsangan ekonomi yang lebih komprehensif akan dilancarkan tidak lama lagi demi rakyat dan ekonomi negara. "Saya telah pun meminta Kementerian Kewangan dan BNM untuk memperincikan pengumuman ini dengan lebih mendalam supaya rakyat memahami sepenuhnya manfaat yang ditawarkan," katanya.