SELEPAS dikritik hebat gara-gara dakwaan daun semambu mampu merawat jangkitan Covid-19, seorang ahli farmasi tampil memohon maaf atas perkara tersebut. Mohd Yazam Jaamat berkata dakwaan tersebut adalah tidak berasas serta bercanggah dari garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lari daripada etika profesional. "Sebagai seorang ahli farmasi tidak sepatutnya membuat dakwaan atas sesuatu yang tidak ada kajian saintifik yang kukuh padanya. ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan daun semambu penawar Covid-19... pakar penyakit berjangkit pun anggap ia pelik! "Pendapat tersebut adalah pendapat peribadi yang mana sudah tentu tidak harus disebarkan kerana menimbulkan kekeliruan di pihak awam," katanya menerusi satu posting di Facebook. Justeru, Mohd Yazam menarik balik semua kenyataannya yang dimuatnaik dalam sebuah video pendek yang tular di media sosial. "Saya sekali lagi menegaskan bahawa saya menarik balik dakwaan tersebut dan berharap orang awam tidak menerima pakai apa-apa nasihat yang ada di dalam video tersebut. Pesakit yang dijangkiti virus Covid-19 mempunyai gejala demam, batuk dan mempunyai kesukaran untuk bernafas. "Saya meminta maaf atas kekeliruan yang timbul dalam kalangan orang awam di atas dakwaan saya itu. Saya harap video itu dipadamkan sesiapa yang telah menerimanya dan tidak menyebarkannya lagi," katanya. Menerusi video berdurasi 9 minit 21 saat yang tular di media sosial sebelum ini, Mohd Yazam mencadangkan pengambilan daun semambu atau dikenali sebagai 'neem' dalam amalan harian bagi mencegah jangkitan Covid-19. "Kenapa saya katakan demikian, di India (neem) sangat terkenal... banyak kegunaan. Ia antiviral, antiparasit dan antimalaria. "Ia juga mampu membersihkan darah dan banyak digunakan untuk kencing manis, darah tinggi dan masalah jerawat teruk. "Satu-satunya kegunaan (neem) ia sangat powerful antivirus agen," dakwanya. Bagaimanapun dakwaan itu disangkal beberapa pengamal perubatan termasuk Felo Akademi Sains Malaysia yang juga pakar epidemiologi dan statistik perubatan, Profesor Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud. Daun semambu digunakan secara meluas dalam industri perubatan di India. Menganggap ia perkara pelik, Dr Awang Bulbiga berkata, meskipun herba itu pernah diuji untuk merawat penyakit lain namun ia tidak menunjukkan sebarang kesan positif terhadap pesakit. "Saya pun pelik... Saya pernah bertanya kepada seorang sahabat mengenainya sama ada ia pernah digunakan untuk merawat mana-mana penyakit? Memang ia telah diuji untuk penyakit lain tetapi ia tak berkesan. "Apa dikatakan berkesan itu, mungkin dalam satu atau dua kes. Mungkin tiada kena mengena dengan daun semambu. "Mungkin penyakit itu sembuh dengan sendiri atau ada makanan lain dan ketahanan badan yang kuat telah menyembuhkan pesakit," katanya.