suria

Beli makanan alasan popular tangkapan ingkar PKP... sampai 4 kali sehari - “Orang sama, polis pun dah kenal”

Pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dekat Georgetown, Pulau Pinang melakukan operasi menahan individu yang ingkar PKP di Jelutong pada Sabtu. Dalam operasi itu, seramai 16 individu ditahan. - fotoBERNAMA

MEMASUKI hari ke-12 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tangkapan terhadap individu yang ingkar arahan itu semakin meningkat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berlaku peningkatan sekali ganda apabila seramai 647 individu ditahan pada Sabtu.

"Kelmarin 320 kes tangkapan atau penahanan oleh pihak polis. Semalam saja, 649 individu telah ditahan bermakna (meningkat) berganda hari sebelumnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada lagi yang ingkar! 116 ditahan kerana hadir solat Jumaat, 5 masjid masih buat sembahyang jemaah

"Daripada 649, seramai 73 individu dituduh di mahkamah dan mengaku bersalah. Ini bermakna walaupun tindakan lebih tegas tapi masih ramai ingkar PKP," katanya pada sidang media petang Ahad.

Jelas Ismai Sabri, pengguna jalan raya memberi alasan sama biarpun ditahan lebih sekali pada hari sama.

"Alasan (mereka) untuk beli makanan tapi empat kali sehari keluar. Orang yang sama sehingga polis dah kenal. 

"Pagi keluar, petang keluar... malam keluar atas alasan nak beli makanan. Jadi polis mengesyaki alasan diberi tidak munasabah sebaliknya sengaja keluar tanpa urusan penting," katanya.

Melihat situasi itu, Ismail Sabri berkata polis mungkin dibenarkan mengambil tindakan tegas seperti mengeluarkan kompaun terhadap individu tersebut.

"Apabila tindakan lebih tegas dilaksanakan tapi ramai masih ingkar PKP jadi pihak polis diberi kebenaran untuk ambil tindakan tegas.

"Antaranya pihak polis mungkin dibenarkan mengeluarkan kompaun atau bawa individu terbabit ke mahkamah," katanya.

Beliau juga memaklumkan SOP baharu untuk fasa kedua pelaksanaan PKP akan diumumkan esok untuk tempoh #dudukdirumah yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.

PKP, tangkapan, keluar, Covid-19, Ismail Sabri

Artikel Lain