suria

PKP dilanjutkan hingga Ramadan?... Masih terlalu awal, tunggu selepas minggu pertama April kata Dr Noor Hisham

Keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga bulan Ramadan hanya akan dapat diputuskan selepas minggu pertama April.

KEPUTUSAN sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga bulan Ramadan hanya dapat diputuskan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti trend atau situasi semasa kes Covid-19, selepas minggu pertama April.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, buat masa ini adalah terlalu awal untuk pihak KKM membuat keputusan mengenainya memandangkan PKP Fasa 1 masih belum tamat.

Kerajaan minggu lalu mengumumkan untuk melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April. 

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Covid-19 diramal capai kemuncak menjelang Ramadan, KKM siap sedia katil tambahan - “We prepare for the worst”

"Kita hanya boleh tahu selepas minggu pertama April. Kalau kita dapat meratakan graf (flatten the curve), kalau tiada peningkatan mendadak, barulah selamat untuk buat keputusan. Sekarang ini masih awal lagi untuk buat kesimpulan," katanya pada sidang media pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada tempoh PKP akan dilanjutkan sehingga Ramadan yang berbaki hanya kurang sebulan sahaja lagi daripada sekarang.

Sebelum ini bank pelaburan antarabangsa JP Morgan menganggarkan jangkitan Covid-19 di Malaysia akan mencapai 6,300 kes pada pertengahan April.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula menjangkakan kemuncak jangkitan pada kadar 8,900 kes.

Bank pelaburan antarabangsa JP Morgan menganggarkan jangkitan Covid-19 di Malaysia akan mencapai 6,300 kes pada pertengahan April.

Dalam pada itu mengulas soalan mengenai penganjuran bazar ramadan yang menjadi perhatian ramai pihak, Dr Noor Hisham berkata apa yang penting orang ramai disarankan untuk mengikut garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh KKM.

"Contohnya kalau pergi ke pasar pun, apa yang penting adalah penjarakan sosial. Jarak yang selamat adalah sekurang-kurangnya satu meter.

"Jika kita amalkan langkah ini, elakkan pergi ke tempat tumpuan, dan kalau nak menganjurkan dalam konteks bazar Ramadan, kena ikut SOP dan garis panduan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan nasihat KKM.

"Juga amalkan mencuci tangan dan sebagainya. Pendek kata perlu ambil semua langkah pencegahan untuk kita putuskan rangkaian virus tersebut," ujarnya lagi.

Umat Islam dijangka mula berpuasa sebulan sepanjang Ramadan bermula 24 April ini.

Sehingga kini, Terengganu dan Negeri Sembilan mengumumkan pembatalan penganjuran bazar Ramadan, manakala Kelantan masih mempertimbangkan perkara itu dengan mengambil kira situasi semasa Covid-19. 

Covid-19, bazar, Ramadan, KKM

Artikel Lain