suria

Selangor batal bazar Ramadan tahun ini

Selangor membatalkan penganjuran bazar Ramadan di negeri itu, susulan penularan wabak Covid-19.

SELANGOR memutuskan untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan di negeri itu, susulan penularan wabak Covid-19.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari, keputusan tersebut dimuktamadkan selepas perbincangan mengenainya dilakukan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP dilanjutkan hingga Ramadan?... Masih terlalu awal, tunggu selepas minggu pertama April kata Dr Noor Hisham

“Kita akan batalkan bazar Ramadan di seluruh Selangor sehingga masa bersesuaian ditetapkan.

“Jika Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri memberi saranan ia boleh dilaksanakan, kita akan lakukan tetapi buat masa ini kita batalkan terlebih dahulu,” katanya dipetik Berita Harian.

Amirudin terdahulu mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di Shah Alam, pada Rabu.

Ujarnya lagi, kerajaan negeri sudah melakukan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai cadangan pihak tersebut, antaranya bazar Ramadan secara dalam talian.

Sehingga kini, Terengganu dan Negeri Sembilan mengumumkan pembatalan penganjuran bazar Ramadan, dengan mengambil kira situasi semasa Covid-19. 

Selangor, bazar, Ramadan

Artikel Lain