suria

Tiada bazar Ramadan selagi PKP belum berakhir - Ismail Sabri

Berbuka puasa kali ini pastinya kurang meriah tanpa juadah yang dibeli dari bazar Ramadan.

KERAJAAN memutuskan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir sepenuhnya.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP pagi Jumaat.

"Seperti saya maklumkan semalam ianya merupakan cadangan daripada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan mesyuarat pagi ini telah pun memutuskan bahawa selagi PKP dilaksanakan semua bazar Ramadan tidak dibenarkan," katanya pada sidang media petang Jumaat.

Namun Ismail Sabri berkata sekiranya PKP ditamatkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) selepas perintah tersebut.

"Kita akan menyediakan post PKP. Maka soal berkaitan bazar Ramadan dan sebagainya akan ditentukan selepas ini sama ada boleh dilaksanakan atau dilaksanakan dengan SOP tertentu.

"Cuma selagi PKP fasa kedua diteruskan atau tiba-tiba ada PKP lain bazar Ramadan tidak dibenarkan," katanya.

Terdahulu DBKL sedang memikirkan keadah baharu yang sesuai menggantikan bazar Ramadan yang biasa diadakan sebelum ini ketika penularan Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata bagaimanapun konsep dan kesesuaian cadangan itu perlu dikaji terlebih dahulu oleh DBKL.

Beberapa kerajaan negeri seperti di Kedah, Selangor dan Johor sudah membatalkan operasi bazar Ramadan bagi mengekang penularan wabak itu.

bazar Ramadan, Ismail Sabri, PKP, DBKL

Artikel Lain