suria

Elak jangkitan Covid-19, basuh tangan selepas sentuh haiwan peliharaan - Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai mengelakkan kontak dengan haiwan untuk mengelakkan jangkitan virus.

ORANG ramai dinasihatkan untuk meningkatkan tahap kebersihan dengan kerap mencuci tangan terutama selepas mengendalikan haiwan peliharaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abddullah berkata, langkah ini bagi mengelakkan sebarang risiko haiwan berkenaan dijangkiti wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki usia 67 tahun korban ke-62 Covid-19, ada sejarah kontak rapat dengan 5 pesakit kluster perhimpunan Seri Petaling

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tepati tanda aras ujian Covid-19 WHO, akan teliti pencapaian 10 April ini sebelum putuskan tindakan lanjut - Dr Noor Hisham

"Sekiranya kita tidak dapat menjauhkan diri dari haiwan dan binatang peliharaan, penting untuk menjaga kebersihan diri setiap masa termasuk ketika bersentuhan dengan haiwan dan binatang peliharaan.

"Basuh tangan anda sebelum dan selepas mengendalikannya. Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Veterinar untuk nasihat lanjut mengenai perkara ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu dalam sidang media pada Isnin, Dr Noor Hisham ditanya pemberita mengenai perkembangan terkini di mana wujud beberapa kes haiwan yang didapati dijangkiti Covid-19.

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat tujuh jenis koronavirus yang menjangkiti manusia, antaranya Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan terkini Covid-19.

Baru-baru ini sepasukan penyelidik di Hong Kong melaporkan dua ekor anjing didapati positif Covid-19 selepas melalui ujian reaksi polimerase berantai (PCR).

Pada Ahad, seekor harimau di Taman Haiwan Bronx, New York, turut diuji positif bagi Covid-19 sekaligus menimbulkan kebimbangan ramai.

Dalam perkembangan berasingan, beliau turut melahirkan rasa terkilan dengan tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang 'mencuri' topeng muka dan alat pembasmi kuman di fasiliti kesihatan.

Ujarnya, tindakan tersebut sangat bersifat mementingkan diri kerana tidak memikirkan insan yang lebih memerlukannya, khusunya petugas di barisan hadapan.

"Kalau ambil dari hospital untuk kegunaan sendiri... kena pikir orang ramai juga. Janganlah ambil glove, sanitizer, topeng muka kerana ia penting untuk kakitangan di barisan hadapan," ujarnya lagi.  

haiwan, Covid-19, koronavirus

Artikel Lain