suria

Tiada perbezaan ikut darjat! Kerajaan tanggung RM150 sehari bagi setiap individu selama 14 hari dikuarantin di hotel

Setakat ini 45 buah hotel bertaraf tiga bintang ke atas diwartakan sebagai pusat kuarantin untuk mereka yang baru pulang dari luar negara dengan kos RM150 untuk sehari bagi setiap individu.

ISU pusat kuarantin di hotel yang menjadi perdebatan ramai turut mendapat perhatian Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi sidang media pada Selasa, Ismail Sabri menafikan cakap-cakap nakal netizen kononnya wujud perbezaan antara dua darjat dan sebagainya dari segi penempatan penghuni.

Jelasnya, setakat ini 45 buah hotel bertaraf tiga bintang ke atas diwartakan sebagai pusat kuarantin untuk mereka yang baru pulang dari luar negara dengan kos RM150 untuk sehari bagi setiap individu, sepanjang tempoh kuarantin selama 14 hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak ada yang terkecuali... semua yang masuk ke Malaysia akan ‘dijemput’ jalani tempoh kuarantin

"Kerajaan biayai kos untuk bilik dan makan, terhad RM150 sehari. Kos lain seperti dobi ditanggung oleh individu yang dikuarantin tersebut.

"Kenapa ada empat bintang, lima bintang? Seperti saya sebut kita kenal pasti 45 buah hotel yang disenarai sebagai pusat kuarantin.

"Ada permintaan daripada mereka yang dikuarantin ingin memilih hotel mereka sendiri. Jika pilih hotel sendiri dengan bilik berbeza, mereka perlu bayar sendiri," ujarnya.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun katanya, biarpun diberi kelonggaran, mereka hanya boleh memilih salah satu dalam 45 buah hotel yang sudah disenaraikan kerajaan sahaja.

Jelasnya lagi, kelonggaran itu dibuat kerana ada permintaan khususnya dalam kalangan diplomat asing yang kembali ke negara ini dan sebagainya.

"Ramai juga dalam kalangan mereka yang pulang ingin pilih hotel mereka sendiri dan sanggup bayar kos mereka sendiri.

"Walau bagaimanapun, mereka hanya boleh pilih hotel yang telah ditetapkan kerajaan. Tak boleh tiba-tiba nak duduk di hotel enam bintang yang mereka pilih sendiri.

"Walaupun di hotel, prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti pusat kuarantin di tempat lain.

"Kalau pilih hotel secara suka-suka dan tak ikut yang kita senaraikan, susah untuk buat pemantauan," ujarnya lagi.

Pada Isnin, tular di media sosial apabila ada individu berkongsi foto-foto pusat kuarantin di sebuah hotel yang kelihatan mewah dan cukup selesa.

Ia menimbulkan perdebatan di media sosial sehingga wujud perbandingan dengan pusat kuarantin biasa di lokasi lain.

Bermula Jumaat lalu, semua penumpang yang masuk ke dalam negara sama ada menerusi jalan darat, udara mahupun laut akan menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan

Menurut menteri itu lagi, kesemua mereka yang tiba di pintu masuk akan terus dibawa ke pusat kuarantin dengan menaiki bas, selepas menjalani prosedur imigresen.

Artikel Lain