BELUM ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan penangguhan ibadah haji bagi tahun ini. Sehubungan itu, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengingatkan seluruh umat Islam negara ini supaya tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkaitan ibadah haji tahun ini. ARTIKEL BERKAITAN: Umat Islam diminta tangguh persiapan haji dan umrah - Arab Saudi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, perkembangan terkini itu berdasarkan penjelasan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien bin Saeed Qattan dalam pertemuan pada Selasa. Kata Zulkifli, penjelasan lanjut berkaitan ibadah haji perlu susulan penularan wabak Covid-19 di seluru dunia. "Saya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkenaan perkara ini. "Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT menghilangkan wabak ini dan memelihara dua Kota Suci umat Islam dari sebarang perkara yang tidak diingini. "Semoga dengan doa dan munajat kita, pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini dapat direalisasikan dengan izin-Nya. Amin," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, Rabu. Turut hadir dalam pertemuan itu adalah, Atase Agama Kedutaan Arab Saudi, Syeikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai'an; Pengurus Besar Kanan Haji, Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Ruslan Said. Katanya, wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini turut memberi kesan kepada Arab Saudi yang menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah. Malahan, katanya, bulan lalu Arab Saudi juga menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan Covid-19.