suria

Covid-19: Doktor Malaysia di UK dimasukkan ke ICU, kini berada dalam keadaan stabil

Dr Tun Muzamal Wildan kini berada di ICU kerana Covid-19 dan keadaannya stabil.

SEORANG doktor kelahiran Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom (UK) berada dalam keadaan stabil setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat positif Covid-19.

Menurut laman Facebook Traditional Halaqa, biarpun Dr Tun Muzamal Wildan memerlukan bantuan pernafasan, namun kini dalam keadaannya stabil.

ARTIKEL BERKAITAN: Nasib pelajar pulang dari UK, niat baik mengaku positif Covid-19 sudahnya dipersalahkan... dilabel ‘pembawa’ - “Kami tak minta dijangkiti”

"Saudara Malaysia kita, Dr Tun Muzamal Wildan yang menghadiri Wycombe Halaqa baru-baru ini, yang sudahpun menghadirinya sejak 2002, kini bertarung nyawa di ICU akibat Covid-19.

"Doakan dia, semoga Allah mengurniakan kesembuhan segera dan dilindungi keluarganya serta individu tersayang lain yang sedang menderita," tulis pengendali Facebook itu pada Rabu.

Para doktor di Malaysia turut menyampaikan mesej serupa, mendoakan kesembuhannya.

Pada Selasa, Dr Nur Amalina Che Bakri turut memaklumkan hal itu menerusi laman Twitter.

"Sebagaimana permintaan keluarga Dr Tun Muzamal Wildan, pakar bedah Malaysia di UK, saya mohon anda doakannya.

"Dia kini berada di ICU kerana Covid-19 dan keadaannya stabil," tulis Dr Nur Amalina.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Imelda Balchin turut berterima kasih kepada mereka yang mendoakan Dr Tun Muzamal Wildan.

"Terima kasih semua yang mendoakan kawan saya. Dia kini memerlukan bantuan pernafasan di Birmingham, UK, namun dia stabil, begitu juga paras oksigennya.

"Ayuh terus berdoa untuknya," tulis Dr Imelda di Facebook.

Setakat ini UK merekodkan lebih 65,000 kes Covid-19 dengan jumlah kematian menghampiri 8,000 orang. - The Star.

Artikel Lain