suria

Selepas tertangguh, sidang DUN Kelantan berlangsung 45 minit hari ini

Sidang DUN Kelantan berlangsung mengikut ketetapan KKM terutama penjarakkan sosial.

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung hari ini selama 45 minit sahaja.

Persidangan tertutup yang bermula pada pukul 9 pagi itu dihadiri oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang terlibat kecuali Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapha Mohamed atas sebab yang dibenarkan.

Walaupun kurang satu jam, namun aspek keselamatan dan penjarakkan sosial tetap dilakukan sepanjang tempoh persidangan berlangsung terutama susun atur kerusi sejauh satu meter mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub ketika ditemui memberitahu, persidangan juga berjalan dengan baik dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V turut memperkenan titah pembukaan persidangan kali ini dibaca oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

"Perbahasan titah diraja akan dibuat pada persidangan akan datang. Sama juga dengan semua persoalan, sama ada secara lisan atau bertulis, Insya-Allah akan dibuat pada persidangan akan datang,

"Persidangan juga hanya melibatkan Adun manakala ketua agensi dan ketua jabatan tidak dijemput kali ini," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, Isnin.

Menurutnya, persidangan DUN wajib diadakan setiap enam bulan sekali dan kali terakhir dewan Kelantan bersidang pada hujung tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun hanya melibatkan 45 minit sahaja, namun dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelak risiko kepada komplikasi undang-undang jika tidak dilaksanakan sebelum tarikh akhir 16 April ini.

Abdullah juga memberitahu, persidangan kali ini turut meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Taman Negara Pindaan 1938 dan RUU Kerabat Bergelar dan Datuk Bergelar.-sinarharian.com.my


DUN, Kelantan, PKP

Artikel Lain