suria

Pelancong Rusia terkandas, ditemui kelaparan di pekan Temerloh

Gambar yang dimuatnaik oleh individu menggunakan profil nama,Eza Nurbaiti di laman Facebook dan tular.

WARGA Rusia yang juga jurutera kargo diselamatkan polis Temerloh selepas dia ditemukan berkeliaran sambil mengadu tiada wang dan kelaparan di hadapan sebuah restoran makanan segera di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, lelaki berusia 42 tahun itu yang berasal dari Moscow, Rusia ditemui berlegar-legar di hadapan Pasaraya TMJ Temerloh kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lelaki tersebut telah memasuki negara ini melalui sempadan Thailand-Malaysia (Bukit Kayu Hitam) pada 17 Mac lalu.

"Jurutera tersebut merupakan seorang backpackers yang datang ke negara ini dengan tujuan melancong. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, dia berada di Kuantan.

"Kemudian dia berusaha untuk pulang ke Rusia namun tiket penerbangannya dibatalkan dan telah gagal menghubungi dua rakannya," katanya menerusi satu kenyataan.

Dipercayai menumpang sebuah lori, warga Rusia itu kemudiannya telah diturunkan di Temerloh oleh sebuah lori yang sedang dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur semalam, sebelum pihak polis menemuinya hari ini di bandar tersebut.

Gambar lelaki itu yang memegang potongan kotak yang tertulis "I can't go home and have no money.I need a food (Saya tidak boleh pulang dan tiada duit (saya lapar) di hadapan sebuah restoran segera di bandar itu kemudian tular.

Gambar berkenaan dimuatnaik di Facebook oleh seorang pemilik akaun media sosial lalu menarik perhatian netizen.

Sementara itu, Mohd Yusri memberitahu, lelaki tersebut kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Lalang untuk menjalani saringan kesihatan berhubung koronavirus (Covid-19) dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Temerloh untuk tindakan lanjut.

"Pihak kedutaan Rusia telah dihubungi dan kini pihak polis sedang berusaha menguruskan penghantaran lelaki itu kepada pihak kedutaan di Kuala Lumpur sebelum dihantar pulang ke negara asal," katanya.-sinarharian.com.my

Temerloh, Rusia, jurutera kargo

Artikel Lain