suria

18,650 permohonan permit operasi diterima pada hari pertama, lebih tinggi banding fasa pertama, ke-2 PKP - Azmin

Industri automatif antara yang dibenarkan beroperasi pada PKP Fasa 3.

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menerima sebanyak 18,650 permohonan baru dalam tempoh sehari daripada syarikat dalam sektor tambahan yang mahu beroperasi pada fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, permohonan itu merupakan satu peningkatan besar berbanding permohonan yang diterima pada PKP Fasa 1 dan Fasa 2.

“Kita ambil maklum berlaku masalah trafik tinggi dua jam pertama pada 13 April sebab sistem tidak dapat tampung jumlah kemasukan individu dan syarikat.

“Alhamdulillah dalam tempoh kurang 24 jam sistem dapat ditambah baik. Dalam tempoh sehari kita terima permohonan baru sejumlah 18,650 sejak sistem permohonan mula beroperasi.

“Ini satu jumlah yang besar jika dibandingkan permohonan kita terima pada tahap 1 dan 2, dalam tempoh enam hari kita terima permohonan sejumlah 12,360,” katanya pada sidang media di Putrajaya, petang Khamis.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan sembilan sektor ekonomi tambahan dibenarkan beroperasi di bawah syarat ketat ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan 2 minggu lagi sehingga 28 April ini.

Sektor-sektor itu termasuk industri automotif, industri mesin dan peralatan; industri aeroangkasa; projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan; perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D); perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar; perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik dalam pemborongan dan peruncitan dan perkhidmatan dobi.

Jelas Mohamed Azmin lagi, walaupun kelulusan untuk beroperasi perlu mendapat kelulusan Miti, proses untuk menilai dan meneliti permohonan daripada syarikat dan invididu akan dilakukan jabatan dan kementerian berkenaan.

“Di war room kita ketika permohonan sedang diteliti ada wakil dari KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), SME Corp, Bank Negara, Mida bagi bantu permudah proses permohonan.

“Apabila kelulusan diberikan Miti sebagai focal point syarikat berkenaan akan dapat kelulusan dan akan diberikan kepada pekerja yang hadir ke tempat kerja,” katanya.

Malah beliau berkata Miti turut berkongsi semua senarai kelulusan ini dengan pihak polis menerusi satu aplikasi khas.

“Ianya juga dapat bantu polis dalam jalankan tugas mereka bagi memastikan syarikat diberi kelulusan dengan pekerja dibenar keluar kediaman masing-masing.

“Pada ketika ini kita benarkan operasi 50 peratus saja. Saya kira perkara ini kita dah laksanakan pada tahap 1 dan 2. Alhamdulillah berjalan dengan lancar.

“Namun dengan pembukaan sektor tambahan ini pastinya ada tambahan maka proses sama akan kita lakukan untuk polis jalankan tugas mereka,” katanya.

Artikel Lain