suria

Individu lolos roadblock dikenal pasti - “Siap bagi tip cara tipu polis... jangan anggap diri hero!”

POLIS telah mengenal pasti individu yang memuat naik satu posting yang tular di media sosial sejak Khamis mendakwa mereka sekeluarga berjaya melepasi sekatan jalan raya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada siapa boleh terlepas hukuman sekiranya mengingkari arahan PKP yang dilaksanakan sehingga 28 April ini.

"Semalam kita lihat tular di media sosial seorang individu dan keluarganya viral menunjukkan mereka sudah balik ke Kuala Lumpur dan akhirnya memberi tip kepada orang ramai bagaimana cara nak menipu polis.

"Saya ingin beri ingatan kepada semua. Jangan berbangga apabila melakukan kesalahan dan mempengaruhi orang ramai untuk mengikut tindak tanduk mereka melakukan kesalahan.

"Pihak polis telah mengenal pasti mereka ini dan tindakan akan diambil terhadap mereka. Tiada siapa pun boleh terlepas daripada tindakan undang-undang dan polis jika melakukan kesalahan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya petang Jumaat.

Malah Ismail Sabri turut mengingatkan individu tersebut supaya tidak berbangga diri dengan kesalahan dilakukan mereka.

"Mereka sendiri telah mengakui ingkar peraturan PKP. Jadi tolonglah janganlah berbangga dengan melakukan kesalahan.

"Dan jangan anggap diri kita hero kerana akhirnya tindakan akan diambil polis sehingga menyusahkan diri sendiri dan keluarga," katanya.

Sejak Khamis, tular posting seorang lelaki memberitahu dia dan keluarganya selamat tiba di Kuala Lumpur bersama isteri dan anak-anaknya meskipun pergerakan merentasi antara negeri tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Namun lelaki tersebut mendakwa dia berjaya berbuat demikian kerana memberi alasan hendak membawa anaknya pergi ke hospital.

Disebabkan itu dia terpaksa membawa semua ahli keluarganya.

Rata-rata netizen meluahkan perasan berang dengan tindakan keluarga tersebut yang dianggap sanggup menipu demi kepentingan diri sendiri.

Artikel Lain