suria

Terus patuh PKP, jangan alpa... Dr Noor Hisham khuatir rakyat mulai ambil mudah susulan penurunan kes Covid-19

Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian penularan jangkitan.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menasihati rakyat Malaysia untuk terus patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandangkan pendekatan itu penting dalam memutuskan rantaian penularan jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata demikian kerana berasa khuatir masyarakat mulai alpa lalu mengambil mudah PKP susulan penurunan jumlah kes positif Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Lewat dapatkan rawatan, warga Myanmar antara 2 korban terkini Covid-19... Malaysia rekod 54 kes baharu

“Walaupun perkembangan dalam penurunan kes ini sememangnya positif, namun masyarakat masih perlu berada di rumah, mengamalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dan mengamalkan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 pada Sabtu.

Tambah Dr Noor Hisham, pihaknya akan terus memantau perkembangan kes Covid-19 melalui maklumat yang diperoleh dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Dr Noor Hisham juga mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dalam menghadapi wabak Covid-19 di Malaysia selama tiga bulan sejak kes pertama dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan, KKM.

Pada Sabtu, Malaysia mencatatkan pertambahan 54 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 5,305 kes.

Daripada jumlah keseluruhan, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,115 kes. - BERNAMA

PKP, alpa, patuh, Covid-19

Artikel Lain