suria

“Cuba bayangkan jika kita bebaskan mereka” - Ismail Sabri dedah 17 rakyat Malaysia pulang dari luar negara positif Covid-19

Seramai 16,653 individu sedang menjalani kuarantin wajib di Pusat Kuarantin seluruh negara ketika ini.

SERAMAI 17 warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara dan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari disahkan positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini menunjukkan langkah memperkenalkan kuarantin wajib kepada kumpulan tersebut amat tepat dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak itu.

"Kita faham ramai agak kurang senang dengan kuarantin wajib yang kita perkenalkan, namun dari laporan Kementerian Kesihatan Malaysia terdapat 17 kes positif Covid-19 dalam kalangan rakyat yang pulang dari luar negara.

"Cuba bayangkan jika kita bebaskan mereka untuk pulang ke rumah, buat self quarantine sekali pun… keluarga mereka pasti terdedah kepada Covid-19 dan jika mereka keluar pasti ia akan merebak lebih luas, akan wujud kluster baharu rakyat baru pulang dari luar negara.

"Jadi yakinlah dengan tindakan yang telah diambil oleh kerajaan. Saya minta agar semua rakyat terus patuhi arahan PKP supaya bilangan kes baharu dapat dikurangkan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, petang Ahad.

Ismail Sabri berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bilangan kes positif baharu juga menunjukkan trend penurunan.

"Ini jelas menunjukkan tindakan kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengenakan sekatan pergerakan melalui PKP adalah tepat.

"Dengan perintah PKP ini, kita dapat membantu memutuskan rantaian penularan Covid-19," katanya.

Setakat Sabtu, beliau berkata sebanyak 190 Pusat Kuarantin telah beroperasi di seluruh negara dengan 16,653 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

"Semalam seramai 573 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib. 

"Seramai 11,947 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu," katanya.

Namun katanya, seramai 1,290 individu sudah tamat menjalani tempoh kuarantin wajib sejak 18 April lalu dan dibenarkan pulang.

"Seramai 72 orang akan pulang ke Sarawak selepas tamat menjalani tempoh kuarantin wajib. 

"Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menguruskan penerbangan pulang mereka ke Sarawak," katanya.

Artikel Lain