suria

Kertas siasatan terhadap Nurul Zahid, suami dibuka... Polis tegaskan tiada individu terlepas jika langgar undang-undang

Nurul Zahid memuat naik gambarnya bersama suami (kiri) mengadakan pertemuan dengan Ahmad Masrizal Muhammad di Instagram, baru-baru ini.

SATU kertas siasatan telah dibuka terhadap anak Presiden Umno, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff berhubung dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: Langgar PKP: Nurul Zahid, suami beri keterangan di Bukit Aman

“Satu kertas siasatan telah dibuka oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman mengenai dakwaan pelanggaran PKP oleh Datuk Nurulhidayah dan suami.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melakukan pergerakan tanpa kebenaran.

"Kedua-dua mereka telah pun diambil keterangan pada 24 April 2020. Setelah siasatan dilengkapkan, PDRM akan merujuk kertas siasatan tersebut ke pejabat Peguam Negara, ” katanya dalam kenyataan tersebut.

Oleh itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak cuba menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif di kalangan masyarakat seolah-olah pihak polis tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan membabitkan anak pemimpin politik itu.

"PDRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sesiapa pun yang akan terlepas daripada sebarang tindakan sekiranya didapati dengan sengaja melanggar apa jua undang-undang negara," katanya lagi.

Pada Isnin, Nurulhidayah, 41, memuat naik beberapa gambar di Instagram ketika dia dan suaminya bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad di pejabat masing-masing.

Tindakan tersebut menerima kecaman netizen memandangkan ia dilakukan ketika kerajaan melaksanakan PKP bagi membendung penularan Covid-19.

PKP, Covid-19, PDRM, tindakan, Nurul Zahid

Artikel Lain