suria

Hanya nasihat PM perkembangan Covid-19, bukan soal polisi - Dr Noor Hisham jawab isu Dewan Rakyat bersidang 18 Mei

Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung sehari pada 18 Mei ini.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan pihaknya tidak mencampuri urusan dan polisi kerajaan khususnya berhubung isu sidang parlimen yang akan berlangsung tidak lama lagi

Menjelaskan mengenai perkara tersebut lebih lanjut, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya hanya berperanan memberikan nasihat berhubung situasi semasa penularan wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Rakyat bersidang sehari 18 Mei ini

"Berhubung dengan parlimen, kami memberi nasihat berdasarkan data dan fakta mengenai Covid-19. Sekarang ini sama ada kes berkurang atau meningkat, kita nasihat kerajaan berhubung perkembangan kes Covid-19. Itu peranan kami.

"Lain daripada itu, saya fikir ia bukan dalam jangkauan Kementerian Kesihatan contohnya soal polisi dan sebagainya. Kami nasihat perdana menteri berhubung penularan Covid-19," katanya dalam sidang media harian Covid-19 pada Isnin.

Sebelum ini wujud gesaan daripada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang meminta persidangan Dewan Rakyat diadakan lebih daripada sehari kerana negara lain telah membuktikan ia boleh dilakukan ketika pandemik Covid-19.

Dalam masa yang sama, Penasihat DAP Lim Kit Siang turut menuntut penjelasan ketua pengarah kesihatan itu berhubung dakwaan bahawa Kementerian Kesihatan ada menasihatkan Parlimen agar bermesyuarat selama satu hari sahaja iaitu pada 18 Mei.

Sementara itu mengulas lanjut berhubung perkembangan yang sama, Dr Noor Hisham berkata mereka yang terlibat menghadiri sidang Dewan Rakyat perlu melalui saringan suhu sebagai langkah keselamatan.

"Mengenai parlimen, kita sedang melihat. Seperti juga institusi lain, sebagai contoh jika anda ke KKM, kita pastikan anda lalui saringan suhu. Itu sebahagian daripada norma baharu sekarang.

"Sama ada anda ke parlimen, ke restoran ataupun mana-mana institusi, pasti kena ada saringan suhu serta penjarakan sosial, kekalkan tahap kebersihan.

"Apa yang kami galakkan ialah tiada lagi amalan berjabat tangan. Itu norma baharu yang kita kena amalkan bukan sahaja parlimen tetapi setiap orang di negara ini kena amalka," ujarnya lagi.

Dewan Rakyat akan bersidang untuk hanya satu hari pada 18 Mei ini.

Artikel Lain