suria

Semua keluhan, persoalan rakyat berhubung PKP akan dibincang esok - Ismail sabri

Persoalan yang ditimbulkan oleh ibu bapa mengenai operasi taska akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama jemaah menteri pada Khamis.

KERAJAAN memahami keluhan ibu bapa yang runsing memikirkan anak-anak mereka apabila bakal kembali bekerja kelak, memandangkan taska masih ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama jemaah menteri pada Khamis (esok).

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak akan tamat PKP sekaligus, yang tiada kaitan sektor ekonomi perlu duduk di rumah” - Dr Noor Hisham

"Kita pun faham ada ibu bapa yang bekerja, tak ada siapa yang jaga anak mereka di rumah. Perkara inilah yang akan kita bincangkan esok untuk kita keluarkan SOP yang lebih lanjut.

"Semua kementerian terlibat dalam mencadangkan SOP di bawah kementerian mereka, esok kita akan bincangkan secara lanjut termasuk isu taska. Kita tunggu selepas kita luluskan nanti," katanya dalam sidang media harian berhubung isu PKP pada Rabu.

Tambah menteri itu, mesyuarat yang akan diadakan pada Khamis itu juga bakal membincangkan pelbagai perkara yang ditimbulkan oleh rakyat memandangkan kerajaan baru-baru ini mula memberi sedikit kelonggaran apabila membenarkan sektor ekonomi beroperasi tanpa sekatan.

Tambah Ismail, ia turut merangkumi persoalan berkaitan agama seperti kaedah pembayaran zakat, solat tarawih dan sebagainya.

"Esok pun menteri agama juga terlibat dalam menyediakan SOP. Ramai orang bertanya, tak boleh ke sembahyang tarawih berdasarkan SOP penjarakan 1 meter di dalam masjid dan sebagainya.

"Pelbagai persoalan ditumbulkan terutaman bila kita mengatakan bahawa untuk PKP ke-4 beberapa kelonggaran akan diperkenalkan, walaubagaimanapun ia tetap dilonggarkan secara berperingkat.

"Jadi banyak persoalan yang ditimbulkan kita minta menteri berkaitan agama untuk tampil dengan SOP dan cadangan," katanya lagi.

Dalam pada itu kata Ismail, bagi golongan yang terlibat dengan sektor pembinaan pula, perkara tersebut akan diterangkan secara lanjut oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam temubual khas yang disiarkan di kaca televisyen pada malam ini.

taska, zakat, mesyuarat, ibu bapa

Artikel Lain