suria

Siang jadi doktor, malam pencuri... lelaki tinggal di kondo mewah curi barang berharga bernilai hampir setengah juta ringgit

Seorang doktor terlibat dalam kegiatan pecah masuk rumah sejak 2014. Gambar hiasan/The Star

SEORANG lelaki yang bekerja sebagai doktor pada siang hari, dan menjadi pencuri di sebelah malam.

Dan perkara itu dilakukannya sejak 2014.

Lelaki berusia 38 tahun itu tinggal di sebuah kondominium mewah di Gurney Drive di Pulau Pinang, dan dia telah memecah masuk 22 unit di blok tersebut sejak enam tahun lalu.

Modus operandinya adalah memeriksa sama ada pintu jirannya terbuka pada awal pagi dan sekiranya terbuka, dia akan menyelinap masuk dan mencuri barang berharga di ruang tamu.

"Dia mencuri barang berharga yang dianggarkan bernilai RM493,615 sejak 2014," kata Ketua Polis Daerah George Town, Asisten Komisoner Soffian Santong pada Selasa.

Lelaki itu bagaimanapun ditangkap pada Khamis lalu, dan polis menemui banyak barang berharga yang disimpan di rumahnya ketika serbuan dilakukan.

Dalam serbuan itu, terdapat 67 telefon bimbit, 26 komputer riba, 29 beg pelbagai jenis, tujuh set televisyen, lapan keping MyKad, tiga pasport Jepun, satu pasport Malaysia dan puluhan barang lain.

"Kami menganggarkan kesemua barang tersebut bernilai RM160,000.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Dia direman hingga Jumaat, ” kata Soffian dalam satu kenyataan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri, yang membawa hukuman penjara 14 tahun jika sabit kesalahan," tambahnya. - The Star

doktor, pencuri, kondo, mewah,

Artikel Lain