SERAMAI 2,000 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPTS pulang ke kampung halaman masing-masing pada malam Khamis membabitkan pergerakan ke zon Sarawak, Perak, timur dan selatan. Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad yang hadir menyaksikan kepulangan 115 pelajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, ke zon selatan membabitkan Negeri Sembilan, Melaka dam Johor berkata, pergerakan itu membabitkan pergerakan dalaman zon berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar IPT di zon merah dilarang pulang, wajib jalani saringan kesihatan - Ismail Sabri "Saya rasa berpuas hati dengan proses penghantaran pulang pelajar yang dijangka selesai pada 10 Mei ini. Sarawak dengan Sarawak akan bergerak malam ini, timur dengan timur dan Perak dengan Perak. Pergerakan itu kita buat serentak pada waktu malam," katanya kepada pemberita. Selain USIM yang menjadi antara tempat pelepasan pulang pelajar, terdapat banyak lagi tempat pelepasan lain antaranya Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Johor dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM). Pergerakan pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing memasuki hari keempat selepas yang pertama pada 27 April lepas. Sementara itu pergerakan pulang pelajar dari Semenanjung ke Sarawak serta Sarawak ke Semenanjung pula pada Jumaat. Kaedah penghantaran pulang pelajar ini dilakukan supaya teratur dan berancang dan setiap zon mempunyai penyelaras dengan bantuan dari semua universiti membabitkan IPTS dan IPTA. Mengenai perkara yang tidak dapat dilupakan ketika proses berkenaan, Noraini berkata beliau menyaksikan terdapat seorang pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menggigil menahan sebak kerana gembira dapat bertemu ibu bapanya. "Itu yang kita terharu dan saya seorang ibu dan saya juga merasakan bahawa ini masa yang tepat dan saya nak ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membenarkan pelajar ini bergerak pulang ke kampung masing-masing," katanya. - BERNAMA