SEMUA pengangkutan awam dibenarkan untuk beroperasi seperti sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai esok. Bagaimanapun menurut Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pengguna dan pengendali pengangkutan awam diingatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. ARTIKEL BERKAITAN: Waktu operasi pengangkutan awam dihadkan mulai esok "Ini termasuk memastikan penjarakkan sosial dan kebersihan diri dipatuhi. "Bagi pengangkutan awam, jumlah penumpang dihadkan separuh dari keseluruhan kapasiti sebenar. Bagi kenderaan persendirian pula, dibenarkan untuk empat penumpang dari keluarga yang sama," katanya dalam sidang media harian berhubung perkembangan PKP pada Ahad. Dalam perkembangan yang sama, Ismail berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama pakar tempatan telah mengambil inisiatif membangunkan aplikasi MyTrace, yang membolehkan kerajaan mengesan individu yang telah berada berdekatan dengan mereka yang dijangkiti wabak Covid-19. Ujarnya, MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera yang telah dilancarkan sebelum ini dan menggunakan teknologi Bluetooth untuk pengesanan kontak kepada individu positif Covid-19. “Apabila telefon bimbit pengguna MyTrace berada dalam jarak dekat, telefon-telefon itu akan mengesan gelombang Bluetooth untuk mengesan kehadiran masing-masing. “Berdasarkan kekuatan gelombang Bluetooth yang dikesan, jarak dan tempoh pertemuan pengguna-pengguna boleh dikenal pasti. Data yang dikumpul akan disimpan selama 21 hari di dalam telefon bimbit pengguna, ” katanya. Beliau berkata aplikasi MyTrace hanya mengumpul maklumat pengguna yang dirahsiakan dan tidak mengumpul sebarang maklumat geo-lokasi. “Pengesanan kontak sangat penting supaya dapat diketahui siapa yang pernah berada dekat dengan seseorang yang telah dikenal pasti positif Covid-19, ” katanya. Sehubungan itu, ujarnya kerajaan amat berharap ramai yang memuat turun dan menggunakan MyTrace bagi memastikan keberkesanannya, dengan menyasarkan penggunaan sekitar 60 peratus pengguna telefon pintar di seluruh negara. “Sekiranya ada kluster Covid-19 yang baharu dikesan, aplikasi MyTrace dapat membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengesan dan memutuskan jangkitannya secepat mungkin, ” katanya. Aplikasi MyTrace kini boleh dimuat turun melalui Google Play Store bagi peranti jenis Android manakala bagi versi iOS pula, ia boleh didapati tidak lama lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!