suria

Maklum polis jika tak dapat ikut jadual perjalanan 4 hari ditetapkan, tapi keputusan atas budi bicara polis - Ismail Sabri

Mereka yang terkandas boleh memulakan perjalanan berkuatkuasa Khamis hingga Ahad ini.

ORANG ramai yang terkandas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi tidak dapat memulakan perjalanan mereka mengikut jadual ditetapkan perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Sebelum ini, polis tempoh selamat empat hari bermula 7 hingga 10 Mei ini untuk mereka yang terkandas membuat perjalanan rentas negeri, kembali ke kediaman masing-masing di seluruh negara.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan untuk mereka bergerak pulang selain tempoh ditetapkan hanya terpulang kepada budi bicara polis.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mungkin ada yang cuba bawa kawan” - Ismail Sabri jangka ada yang akan ingkar PKPB

“Jadual ditetapkan PDRM hanya empat hari sahaja bermula Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad ini. Jadualnya telah ditetapkan.

“Jadi mana-mana yang miss empat hari ditetapkan jika mereka ingin merentas negeri mesti laporkan kepada pihak polis dan dapatkan kebenaran untuk pergerakan mereka. Budi bicara pihak polislah untuk benarkan, ” katanya pada sidang media harian di Putrajaya petang Isnin.

Namun Ismail Sabri menasihati orang ramai supaya bergerak mengikut tempoh empat hari yang sudah ditetapkan itu.

“Kalau kita lihat dari segi peraturan rentas negeri masih tidak dbenarkan. Jadi empat hari itu adalah pengecualian dari segi peraturan.

“Jadi seboleh-bolehnya untuk permudahkan saya nasihatkan guna tarikh yang ditetapkan pihak polis kembali ke tempat kerja dari kampung, ” katanya.

Pada Ahad, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mendedahkan PDRM sudah menerima 503,276 permohonan untuk membuat pergerakan bersama keluarga dalam tempoh 25 April hingga Sabtu.

Seramai 1.2 juta individu sudah memuat turun aplikasi Gerak Malaysia menerusi telefon pintar masing-masing.

Menerusi ketetapan empat hari berkenaan, Khamis 7 Mei ini dikhususkan untuk orang ramai terkandas di Kuala Lumpur pulang ke kediaman di negeri lain seluruh negara.

Pada 8 Mei (Jumaat) diperuntukkan untuk mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan menuju ke destinasi masing-masing, terutama di Kuala Lumpur.

Sementara 9 Mei (Sabtu) adalah pergerakan dikhususkan kepada mereka dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

Pergerakan pada 10 Mei (Ahad) pula untuk mereka yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

terkandas, PKP, Ismail Sabri, PDRM

Artikel Lain