KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) masih meneliti permohonan sebelum membenarkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) untuk beroperasi sepenuhnya. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada kilang-kilang dan industri untuk pembukaan semula Taska. "Kementerian Kesihatan masih meneliti permohonan tersebut. Yang kita risau dan bimbang adalah kawalan kanak-kanak tersebut. "Kalau kita lihat kat Taska, sebelum Covid-19 pun contohnya jangkitan kaki, tangan dan mulut (HFMD) masih berlaku dalam kalangan Taska. Jadi, jangkitan mudah di Taska," katanya pada sidang media. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat taska dan sekolah swasta yang dibenarkan beroperasi dengan syarat yang ketat, bermula minggu depan. Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya masih belum memberi sebarang keputusan dan permohonan masih diteliti. "Kita tengah teliti sebaik mungkin, melainkan kalau kita boleh hadkan contohnya pengurusan kanak-kanak tersebut secara one to one atau tempat yang khas, baru kita pertimbangkan. "Tapi kalau kita kumpulkan semua kanak-kanak tersebut satu tempat, ia menjadi satu perhimpunan atau kerisauan Kementerian Kesihatan," ujarnya. Beliau menambah, kebolehjangkitan itu akan meningkat sekiranya masih menggunakan kaedah lama. "Jadi, Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan kaedah-kaedah inovasi baharu, barulah kita memberi keputusan yang muktamad. "Sebelum kita memberikan laluan kepada Taska (beroperasi), kita akan pastikan keselamatan kanak-kanak adalah terjamin," katanya. Sebelum ini, Taska di seluruh negara dibenarkan beroperasi menggunakan 100 peratus kapasiti pekerja bermula 4 Mei, tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kelulusan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu merangkumi pematuhan terhadap aspek menjaga penjarakkan sosial, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan keperluan untuk melakukan operasi nyah cemar di premis masing-masing sekurang-kurangnya dua kali sehari. Berdasarkan SOP MKN, aktiviti dan protokol Taska dibahagikan kepada empat jenis tindakan, iaitu sebelum, semasa dan selepas operasi, selain langkah sewajarnya yang perlu diambil pengusaha sekiranya wujud kes jangkitan positif di premis mereka. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!