PASAR raya tidak boleh menghalau atau melarang masuk individu yang tidak memakai topeng muka, tegas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau berkata, pemakaian topeng muka bukan satu kewajipan dan bukan satu kesalahan sekiranya tidak memakainya, mengikut peraturan-peratuan dibawah akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. "Jadi saya berharap pihak pasar raya tidak mengambil undang-undang sendiri dengan mengenakan sesuatu halangan yang bertentangan di bawah akta dan peraturan. "Tak boleh kata tak boleh masuk, halau keluar. Terpaksa balik rumah dulu. Tak boleh sebab itu tidak termasuk dalam akta dan peraturan," katanya pada sidang media, Jumaat. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sebahagian pasar raya yang masih mengenakan syarat pemakaian topeng muka sebelum dibenarkan memasuki premis. Walau bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kerajaan mengalakkan rakyat memakai topeng muka untuk menjaga keselamatan seseorang dan orang sekelilingnya, terutama mereka yang bergejala. "Untuk mengelakkan pelanggan pergi begitu jauh, datang dari rumah sampai ke pasar raya tidak dibenarkan masuk... saya mencadangkan pasar raya supaya letak topeng muka di luar (pintu masuk), dan jual kepada mereka yang tak ada topeng muka. "Kalau dia nak galakkan orang pakai topeng muka, letak kat luar dekat tempat hand sanitizer dan jual. "Tapi jangan paksa beli satu kotak di situ. Tujuannya untuk masuk saja, membenarkan masuk. Jual satu keping sajalah," katanya sambil menambah ia bertujuan untuk mempermudahkan pelanggan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!